Pemandangan Gunung Kinabalu yang dilitupi awan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kundasang, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 24 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12,313 bakul makanan telah disalurkan kepada kumpulan sasaran di seluruh Sabah setakat ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, agihan bantuan berkenaan melibatkan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPDB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Shahelmey berkata, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Am Negeri Sabah akan terus memantau proses agihan bakul makanan agar sampai kepada kumpulan sasaran.

“Memandangkan buat masa ini, semua daerah telah dikenakan PKPB, maka agihan bakul makanan akan dibuat di semua tempat, namun kita mendahulukan kriteria keluarga yang kena kuarantin terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, beliau memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat Persekutuan turut menyalurkan bantuan 6,300 bakul makanan.

Berdasarkan maklumat yang diterimanya, Shahelmey mendapati pelbagai pihak dan rakyat di Sabah mengambil inisiatif sendiri untuk menyampaikan bantuan kepada kumpulan sasar terutamanya mereka  terkesan pendapatan akibat pandemik ini di kawasan masing-masing.

“Dalam masa yang sama dari kerajaan negeri, melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah mahu mengutamakan keselamatan pekerja barisan hadapan (frontliners) kerana mereka ini juga rakyat jelata. Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Am Sabah akan sentiasa memperkemaskan bantuan ini dari semasa ke semasa.

“Kita dalam masa yang sama menasihatkan agar rakyat Sabah semua yang berada di 11 zon merah untuk meminimakan pergerakan, bagi memutuskan rangkaian Covid-19, sama-samalah menunaikan tanggungjawab dengan mematuhi SOP dan kawalan pergerakan dalam membenteras pandemik ini,”tambahnya.-MalaysiaGazette