Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Walaupun pasaran buruh semakin pulih seperti yang disasarkan, kerajaan sedar bilangan penganggur pada masa ini masih tinggi berbanding dengan purata seramai 494,000 orang bagi tempoh 2016-2019.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, situasi ini ditambah lagi dengan keadaan semasa trend peningkatan kes-kes baru Covid-19 yang berkemungkinan memberikan cabaran untuk tenaga buruh memasuki pasaran pekerjaan

Justeru, kerajaan menurut beliau akan terus memberikan tumpuan kepada usaha- usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Ini bagi membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai penganggur dapat kembali bekerja dan mengembalikan negara kepada keadaan guna tenaga penuh.

Tambah Mustapa, kerajaan juga sedar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bagi Negeri Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sekarang ini menimbulkan keresahan di kalangan rakyat, lebih-lebih lagi dari aspek kesannya kepada ekonomi dan mata pencarian mereka.

“Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat adalah sama penting dan harus ditekankan secara seimbang.

“Atas sebab itulah, PKPB yang dilaksanakan membenarkan sektor ekonomi, industri dan perniagaan untuk beroperasi seperti biasa namun perlu mematuhi SOP ketat yang telah dan akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mustapa, pasaran buruh negara berada dalam keadaan stabil dengan sedikit pemulihan apabila bilangan penganggur yang direkodkan pada Ogos 2020 adalah seramai 741,400 orang berbanding 745,100 orang pada bulan Julai lalu.

Namun, kadar pengangguran kekal pada 4.7 peratus berikutan pengurangan marginal bilangan penganggur.

Trend pemulihan yang dicatatkan adalah untuk bulan ketiga berturut-turut selepas merekodkan kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 (Jun 2020 : 4.9 peratus).

Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun pula mencatatkan penurunan yang memberangsangkan apabila buat pertama kalinya turun di bawah paras 9 peratus sejak April 2020 iaitu pada 8.9 peratus (502,300 orang).

Kadar pengangguran belia melepasi paras 9 peratus daripada April sehingga Julai tahun ini (Julai 2020 : 544,500 orang).

Trend pemulihan yang dicatatkan pada bulan Ogos ini disokong oleh pelbagai faktor, antaranya lebih banyak perniagaan beroperasi bermula 10 Jun 2020 selaras dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP); pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat;   kebenaran  merentas  negeri  yang  menyaksikan aktiviti pelancongan domestik yang lebih rancak.

Selain itu, kesan positif daripada pelbagai inisiatif Kerajaan seperti pakej ransangan PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan Pelan Pemulihan Jangka Pendek (PENJANA) khususnya melalui pelbagai program yang secara langsung memberi penekanan kepada pemulihan pasaran buruh iaitu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PENJANAKerjaya), Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran untuk belia dan penganggur (Upskilling and reskilling), Tenaga Kerja Dalam Talian Global (GLOW) dan Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA. -MalaysiaGazette