Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Lebih 80% responden berpuashati dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan daripada jumlah ini, 55% menyatakan tahap kepuasan yang tinggi manakala 26% lagi kepuasan biasa.

Bantuan secara bersekali sahaja atau one-off, antara bantuan yang menerima markah kepuasan yang tertinggi iaitu Bantuan Prihatin Nasional atau BPN (68%) dan MySalam (66%).

Pelaksanaan elaun pemandu teksi mendapat tahap kepuasan pada kadar 57%.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, bagi bantuan yang dilaksanakan di antara 3 hingga 6 bulan pula, kepuasan tertinggi adalah untuk Program Pengekalan Pekerja (70%), diikuti moratorium PTPTN (69%), elaun untuk barisan hadapan (69%), dan moratorium pinjaman bank automatik serta diskaun elektrik (kedua-duanya 67%).

Pelaksanaan pemberian Internet percuma 1GB pada tahap kepuasan 65%.

Manakala bagi bantuan bersifat jangka masa panjang, Skim Persaraan Swasta dan pengurangan caruman KWSP mendapat tahap kepuasan tertinggi (69%) manakala pengecualian tapak sewa dan pengecualian sewa Projek Perumahan Awam mendapat tahap kepuasan paling rendah pada kadar 60%.

Tengku Zafrul berkata, ia merupakan dapatan Kaji Selidik PRIHATIN yang dijalankan antara 19 Ogos dan 22 September 2020 lalu oleh, Unit LAKSANA bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai impak pelaksanaan Pakej PRIHATIN kepada mereka.

Ini juga adalah antara usaha kerajaan untuk mendengar suara rakyat secara berterusan dan hasil dapatan ini akan digunakan bagi merangka usaha-usaha pemulihan ekonomi, termasuk Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan bulan November ini.

Kajian ini membabitkan lebih 11,000 respons telah diterima daripada rakyat termasuk daripada golongan pendapatan B40, M40 dan T20, juga membabitkan individu yang menganggur, bekerja sendiri atau merupakan pemilik perniagaan dan usahawan.

Beliau berkata, mengenai penerimaan dan penggunaan bantuan-bantuan PRIHATIN, sebanyak 50% responden telah menerima antara tiga hingga lima bantuan yang berbeza, sekali gus menunjukkan bahawa kepelbagaian bantuan PRIHATIN telah dapat melindungi rakyat daripada pelbagai sudut keperluan.

Sebanyak 77% responden yang telah menerima bantuan-bantuan PRIHATIN telah menggunakannya untuk perbelanjaan isi rumah, yang mana perbelanjaan yang utama adalah kos makanan, diikuti utiliti dan kos pengangkutan.

Daripada kesemua langkah-langkah di bawah PRIHATIN, tiga bantuan utama yang diterima atau dimanfaatkan responden adalah BPN/BSH, Internet percuma
dan diskaun elektrik. – MalaysiaGazette