Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR- Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan beliau telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini.

Dalam kenyataannya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau disarankan untuk tidak bertemu dengan sesiapa buat sementara waktu.

Justeru, sebarang pertemuan adalah melalui sidang video sahaja.

“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah. Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya.

“Fokus utama saya buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

“Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan sesegera mungkin.

“Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta.

“Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara. Sentiasa ingat pepatah lama, carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga,” katanya.

Artikel berkaitan: Dr Zulkifli sah positif Covid-19, jalani rawatan

Zulkifli turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Ahli-Ahli Jemaah Menteri, para ulama di seluruh dunia yang menghantar pesanan mesej kepada saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan saya.

“Tidak lupa kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya lagi.- MalaysiaGazette