Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Setelah menyepi sejak kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akhirnya bersuara hari ini.

Dalam sebuah rakaman video berdurasi 2.36 minit, bekas Ketua Menteri itu memberi jaminan perjuangan rakyat Sabah tidak terhenti, sebaliknya Warisan Plus akan terus berjuang.

Malah Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Senallang memohon penyokong serta rakyat di negeri untuk tidak sesekali berputus asa dengan kegalalan parti itu untuk mentadbir Sabah.

“Assalammualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua. Saya doakan anda semua sihat-sihat sahaja dan sentiasa amalkan gaya hidup mengikut norma baharu pada masa ini.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakyat Sabah yang telah memberi kepercayaan kepada saya dan rakan-rakan melalui Parti Warisan Plus di dalam Pilihanraya Negeri baru-baru ini.

“Perjuangan kami mempertahankan dan memperjuangkan apa yang menjadi hak rakyat Sabah tidak akan terhenti di sini. Kami akan teruskan selagi hayat di kandung badan, InshaAllah.

“Kepada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti!,” katanya.

Pada PRN yang diadakan baru-baru ini, Warisan Plus memenangi 32 kerusi berbanding Perikatan Nasional (PN) yang memperolehi 38 kerusi.

Kehadiran Mohd Shafie melalui video ini juga menimbulkan tanda tanya ketika rakan seangkatan dalam gabungan itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dirinya mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.