Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan persiapan bagi sekatan jalan raya Op COVID-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa hari ini sehingga 27 Oktober depan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 14 OKTOBER 2020.

TIDAK dinafikan bahawa gelombang ketiga penularan COVID-19 adalah berkaitan Pilihan Raya Negeri Sabah, hingga menyebabkan penularan mendadak kes-kes positif di Sabah, dan kini merebak ke seluruh negara. Gelombang ketiga ini wajar dinamakan sebagai “Gelombang Haus Kuasa”. Ketika peningkatan kes harian mencatatkan sekitar 500 kes sehari, terdapat juga ahli politik yang berkepentingan sendiri, mahu menukar kerajaan di saat keadaan yang getir ini. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa semua parti politik tanah air, terutamanya pihak Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional untuk melaksanakan “gencatan politik” buat sementara waktu di kala negara dilanda gelombang ketiga COVID-19 yang menggerunkan rakyat.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun mempunyai majoriti Dewan Rakyat yang tipis, perlu menumpukan masa, tenaga dan keringat beliau untuk membendung penularan wabak COVID-19 di negara kita. Usaha menjatuhkan Perdana Menteri, bermakna bakal menyebabkan pembubaran Parlimen, seterusnya Pilihan Raya Umum seluruh negara. Dengan keruncingan penularan COVID-19 hari ini, PRU adalah langkah yang bakal membahayakan seluruh rakyat Malaysia dan meranapkan ekonomi negara. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) yakin dengan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang sememangnya terkenal dengan pemimpin yang prihatin akan nasib rakyat.

Virus kecil COVID-19 telah pun menggegarkan satu dunia, dari sudut kesihatan, keselamatan, ekonomi dan sosial di setiap negara. Hari ini, setelah berbulan-bulan negara kita berada di dalam fasa pemulihan krisis COVID-19, kini terdapat kawasan yang telah diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Menyoroti kembali pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat ucapan di televisyen dan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk Malaysia, sebagai langkah pencegahan sebagai tindak balas terhadap wabak COVID-19 di negara ini. Sejak itu, Malaysia melalui 8 Fasa Perintah Kawalan Pergerakan, dengan semua tindakan tegas yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar dapat membendung wabak COVID-19 secara efektif.

Negara kita telah mengalami beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang secara langsung turut memberi impak besar kepada ekonomi negara dan kehidupan kita hari ini.

Berikut merupakan Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP): –
Fasa 1 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 hingga 31 Mac 2020
Fasa 2 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 01 hingga 14 April 2020
Fasa 3 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 15 hingga 28 April 2020
Fasa 4 – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 29 hingga 3 Mei 2020
Fasa 5 – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 4 hingga 11 Mei 2020
Fasa 6 – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 12 Mei 2020 hingga 9 Jun 2020
Fasa 7 – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun hingga 31 Ogos 2020
Fasa 8 – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 31 Ogos 2020 hingga 31 Disember 2020

Bagaimanakah prestasi Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengemudi negara kita ketika wabak COVID-19? Sub-domain kelestarian pembangunan ekonomi yang mapan juga perlu dipertimbangkan, meliputi aspek budaya, teknologi dan politik.

Pengangguran Ketika PKPB dan PKPP.

Setelah PKP dilaksanakan di seluruh Malaysia, kadar pengangguran negara meningkat kepada 5.3%, satu angka yang cukup tinggi memandangkan purata kadar pengangguran sebelum wabak COVID-19 sekitar 3.5%. Inisiatif Kerajaan Perikatan Nasional melalui PENJANA memberi manfaat kepada kira-kira 3 juta tenaga kerja melalui beberapa pelan perancangan yang komprehensif. Insentif yang disediakan kepada majikan dapat mengekalkan pekerja sedia ada serta mengambil pekerja baharu. Keadaan ini memberi nafas baru kepada golongan belia dan membuka peluang jawatan kosong kepada anak muda yang baru menamatkan alam pendidikan tinggi.

Antara inisiatif yang memberi kesan secara langsung kepada pengganggur dan belia ialah Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion. Majikan atau syarikat akan menerima insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia. Insentif ini terbahagi kepada dua iaitu insentif RM800 sebulan bagi setiap pekerja sekiranya menggaji penganggur berumur di bawah 40 tahun dan RM1,000 sebulan selama enam bulan sekiranya menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas serta golongan orang kelainan upayan (OKU). Berdasarkan laporan Kementerian Kewangan, adalah dianggarkan kira-kira 300,000 pencari kerja akan mendapat manfaat melalui insentif itu.

Hasilnya, kadar pengangguran menurun kepada 4.9% pada bulan Jun, 4.7% pada bulan Julai dan 4.7% pada bulan Ogos. Fakta dan angka ini memberikan bukti yang jelas bahawa kepimpinan tertinggi negara telah melaksanakan langkah-langkah yang cepat dan betul ketika negara berdepan krisis. Inisiatif PENJANA juga memberi ruang kepada golongan belia untuk meningkatkan lagi kemahiran dan kemampuan diri supaya dapat memenuhi keperluan pasaran kerja. Antara inisiatif tambahan yang disediakan melalui pelan pemulihan ekonomi ini ialah kerajaan memperuntukkan dana sejumlah RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia. Inisiatif ini merangkumi program latihan dan penempatan serta pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi-institusi terpilih. Inisiatif ini akan memberikan manfaat kepada sekitar 200,000 orang belia. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berharap agar belia terus proaktif dan bersedia untuk menghadapi cabaran baru agar tidak ketinggalan pada waktu krisis seperti ini.

Indeks Harga Pengguna Ketika PKPB dan PKPP

Antara petunjuk tahap kesihatan ekonomi tempatan yang boleh digunapakai adalah Indeks Harga Pengguna (IHP) atau “Consumer Price Index”. Indeks Harga Pengguna secara mudanhnya menunjukkan kuasa beli rakyat dan dan hubungkait dengan kadar inflasi negara. Indeks Harga Pengguna dalam sektor pengangkutan jatuh merudum daripada 114 mata kepada 90 mata pada bulan Mac dan April 2020. Namun, IHP dilihat meningkat setiap bulan, hingga mencecah 103 mata pada bulan Julai 2020. Ini menunjukkan rakyat Malaysia mula menggunakan sistem pengangkutan awam dan penerbangan untuk bergerak dan melancong di dalam negara. Satu lagi bukti yang jelas bahawa Kerajaan Perikatan Nasional berjaya memulihkan ekonomi negara kita ketika wabak.

Pemulihan ekonomi bergantung pada pihak awam dan swasta yang saling berkaitan secara dinamik, demi kebaikan sosial dan ekonomi negara. Semasa PKP sahaja, 66% perniagaan mengalami penurunan permintaan yang drastik sehingga menyukarkan usaha mempertahankan perniagaan sedia ada. Kerajaan Malaysia secara proaktif telah mengambil banyak inisiatif untuk merangsang dan meningkatkan ekonomi, serta meningkatkan ekonomi di sektor swasta, seperti Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN dan rancangan PENJANA. PRIHATIN dijangka menyumbang sebanyak 2.8% kepada pertumbuhan KDNK.

Agensi antarabangsa meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia antara 4.7% dan 9%, dengan keadaan kesihatan awam yang terkawal. Prestasi ekonomi Malaysia dijangka meningkat secara beransur-ansur selepas Jun 2020 dan mencatat pemulihan positif pada tahun 2021, disokong oleh langkah fiskal, monetari dan kewangan yang cukup besar dan kemajuan dalam projek infrastruktur awam yang berkaitan dengan pengangkutan. Sama-sama kita berdoa agar negara kita keluar daripada krisis ekonomi.

Oleh: Shahir Adnan
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Naib Pengerusi IKATAN Kelantan