Harry Maguire

LONDON – Buat kali pertamanya England tewas dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA selepas pemainnya Harry Maguire dibuang padang ketika perlawanan menentang Denmark, hari ini.

Gareth Southgate memberi amaran kepada England agar mengambil iktibar kesalahan disiplin yang dilakukan namun memberi ‘sokongan penuh’ kepada Maguire.

Skuad bimbingan Southgate tewas kali pertama pada tahun ini selepas Maguire dibuang padang sebaik sahaja menerima kad kuning kedua pada babak pertama sebelum sepakan penalti Christian Eriksen menyaksikan Denmark meraih tiga mata penuh di saingan Liga Negara-Negara UEFA.

Situasi itu mengukuhkan lagi kesukaran Southgate mengawal barisan pemainnya apabila pertahanan Chelsea, Reece James yang melakukan penampilan pertama untuk England turut dibuang padang pada hujung perlawanan selepas bertengkar bersama pengadil, Jesus Gil.

Selepas Kyle Walker dilayangkan kad merah ketika bertemu Iceland bulan lalu, England kini mempunyai tiga pemain yang sudah dibuang padang.

Isu kad merah itu menambahkan lagi  masalah di luar padang apabila Maguire yang dipenjara 21 bulan 10 hari selepas didapati bersalah cuba merasuah dan melakukan keganasan terhadap pekerja awam di Pulau Mykonos, Ogos lalu.

Kemudian Phil Foden dan Mason Greenwood dihantar pulang ketika pertemuan dengan Iceland apabila melanggar protokol pandemik Covid-19  kerana membawa wanita ke hotel mereka. – MalaysiaGazette