Limpahan air tercemar selepas benteng kolam sebuah kilang sawit pecah.

KUALA LUMPUR – Benteng kolam tadahan sebuah kilang kelapa sawit yang pecah didapati menjadi punca pencemaran air Sungai Sembrong Kiri hingga menyebabkan air bertukar menjadi kehitaman.

Pencemaran itu turut menjadi punca kepada gangguan bekalan air kepada penduduk persekitaran selama beberapa jam.

Siasatan pencemaran itu disiasat selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS)  Kluang menerima aduan mengenai pencemaran air di sungai berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Jabatan Alam Sekitar Kluang telah mengeluarkan arahan supaya operasi kilang dihentikan serta merta.

Malah, kilang kelapa sawit tersebut telah dikenakan tindakan gantung operasi selama tiga bulan dari tarikh 14 Oktober ini sehingga 14 Januari 2021 kerana kegagalan pihak kilang mematuhi syarat-syarat lesen sepenuhnya terutamanya kegagalan untuk memastikan kolam-kolam pengolahan dibenteng dengan sempurna dan berfungsi dengan baik.

JAS Johor juga telah mengeluarkan Notis Arahan supaya pihak kilang segera menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi mengelakkan air dari kolam tadahan dapat dikawal daripada terus melimpah ke Sungai Sembrong Kiri.

“Lesen hanya akan diserah semula jika JAS berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini. – MalaysiaGazette