Perikatan Nasional

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor telah mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang Rabu lalu.

Katanya, beliau dan Tengku Adnan mewakil Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahidi bagi perbincangan yang berlangsung selama 45 minit iaitu dari 6 petang hingga 6.45 petang.

Perbincangan tersebut susulan keputusan Biro Politik UMNO Selasa lalu yang  mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan menetapkan syarat-syarat baharu jika kerjasama antara PN dan UMNO serta BN mahu diteruskan.

Ditanya butir-butir perbincangan, Ahmad Maslan berkata: “Biarlah rahsia”.

Mengulas lanjut, katanya, susulan perbincangan tersebut, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah meminta beliau menulis surat kepada Muhyiddin yang juga pengerusi PN.

Ia bagi memperincikan syarat-syarat baharu untuk membolehkan kerjasama UMNO dan PN diteruskan.

Ahmad Maslan berkata, surat kepada Muhyiddin itu hanya akan dihantar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dilangsung Selasa ini supaya keputusan di peringkat Biro Politik dapat dibincangkan terlebih dahulu di peringkat MT.

Selain itu, katanya, Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) pula akan bermesyuarat Isnin ini antara lain untuk membincangkan perihal pendaftaran MN sebagai entiti politik. – MalaysiaGazette