Ab Rauf (tengah) meraikan murid dan guru pada Majlis Perasmian Program Powering Knowledge STEM Discovery @ School 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Sekolah Kebangsaan Tanjong Bidara, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

MELAKA – DAP bebas menyatakan hasrat untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, termasuk Duyong, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, perkara itu merupakan sebahagian daripada proses awal sebelum rundingan antara parti dilakukan bagi menentukan pembahagian kerusi pada PRN akan datang.

“Pentas demokrasi Melaka terbuka kepada mana-mana parti yang nak menawarkan diri bertanding mana-mana tempat.

“Sebelum ada perundingan dengan pihak saya, mereka terbuka untuk menyatakan hasrat masing-masing bergantung kepada perbincangan nanti dan hasilnya nanti kita akan maklumkan,” katanya.

Ab Rauf ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Powering Knowledge STEM Discovery @ School 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Sekolah Kebangsaan Tanjong Bidara, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Powering Knowledge STEM Discovery @ School 2026 sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Sekolah Kebangsaan Tanjong Bidara, Masjid Tanah di sini hari ini.

Ab Rauf berkata, beliau terbuka menerima hasrat mana-mana parti untuk bertanding kerana setiap parti mempunyai hak menyatakan pendirian masing-masing sebelum keputusan mengenai pembahagian kerusi dimuktamadkan.

Mengulas hasrat DAP untuk menambah jumlah kerusi yang ditandingi pada PRN kali ini iaitu lapan kerusi berbanding empat yang disandang, Ab Rauf berkata, perkara itu terserah kepada parti berkenaan.

“Itu terserah pada dia (DAP). Dia nak bertanding mana pun dia punya sukalah. Saya tak boleh saya tak boleh nak melarang sebab saya memegang kepentingan parti saya bukannya parti orang lain.

“Dia (DAP) nak bertanding 10 ke, 20 ke, itu up to them. Itu parti dia. Saya jaga kepentingan parti saya,” katanya.

Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, keputusan mengenai pembahagian kerusi hanya akan dibuat selepas persetujuan antara parti dicapai.

“Kalau tertakluk kepada persetujuan antara kedua-dua parti baru kita boleh putuskan,” jelasnya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menyatakan parti itu mahu merampas semula DUN Duyong yang kini disandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Malah Ahli Parlimen Kota Melaka itu mengesahkan DAP mahu bertanding di lapan kerusi termasuk empat kerusi yang kini disandang parti itu iaitu Bandar Hilir, Kesidang, Kota Laksamana dan Ayer Keroh.

Empat lagi kerusi yang mahu ditandingi DAP ialah Duyong, Bemban, Pengkalan Batu dan Gadek, kesemuanya disandang BN kecuali Bemban diwakili Perikatan Nasional (PN).

Pada PRN Melaka 2021, Mohd Noor Helmy menewaskan calon DAP, Damian Yeo Shen Li dengan majoriti tipis 200 undi.

DAP sebelum itu menyandang DUN Duyong selama sepenggal antara 2018 hingga 2021. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here