Logo Jabatan penjara Malaysia

KUALA LUMPUR – Penjara Kamunting menguatkuasakan total lockdown sebagai salah satu dari pada lima langkah pencegahan Covid-19 di dalam penjara tersebut bagi mengelak penularan virus itu dalam kalangan banduan dan warden.

Jabatan Penjara Malaysia berkata, Pusat Koreksional Kamunting, Taiping, Perak akan menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran selama dua minggu.

Penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD secara pentadbiran itu akan berkuatkuasa mulai hari ini hingga 29 Oktober ini.

“Langkah pertama adalah larangan pergerakan fizikal masuk dan keluar dari Pusat Koreksional Kamunting, Taiping, Perak akan diperketatkan lagi.

“Justeru, kawalan keluar masuk bersyarat bagi anggota yang bekerja akan dilaksanakan manakala perjumpaan lawatan keluarga, peguam kedutaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak luar adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, aktiviti-aktiviti seperti kursus, komuniti, sukan, riadah, majlis keraian di dalam kawasan penjara dan kuarters dilarang berikutan penguatkuasaan selama dua minggu itu.

“Penjara Kamunting juga akan melaksanakan total lockdown ke atas blok-blok penempatan banduan yang positif Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette