Sabah kini mempunyai sembilan Hospital Covid-19 dan 21 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sabah kini mempunyai sembilan Hospital Covid-19 dan 21 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, bagi menampung peningkatan jumlah kes Covid-19 di negeri itu, jumlah katil hospital telah ditingkatkan 2.5 kali ganda iaitu daripada 2,129 katil pada awal September lalu kepada jumlah terkini iaitu 5,414 katil.

Jelas beliau, kadar penggunaan katil (BOR) pula pada ketika ini adalah 35 peratus dan penyediaan hospital medan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau yang akan menempatkan 100 katil bagi 10 kegunaan pesakit bukan Covid-19 agar lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit pandemik itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya memandang serius situasi penularan COVID-19 di Sabah dari sejak awal peningkatan bilangan kes COVID-19 di sana.

“Banyak usaha telah dijalankan seperti meningkatkan kapasiti dan mobilisasi aset serta
sumber manusia. Usaha-usaha ini dilakukan bagi memastikan sistem Kesihatan Awam dan Perubatan di negeri Sabah terus mampan dalam membendung situasi penularan Covid-19,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, KKM akan menjalankan lantikan secara kontrak bagi 1,899 petugas kesihatan tertakluk kepada kelulusan agensi pusat.

Jelas beliau, ia akan dimobilisasikan bagi kegunaan di negeri-negeri yang memerlukan khususnya di Sabah.

Menurutnya, KKM juga telah mempergiatkan penglibatan lebih banyak anggota sukarelawan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan individu dalam menangani krisis ini.

“Bilangan maklum balas yang diterima daripada pihak yang berminat adalah amat memberangsangkan.

“Setakat ini, 4,794 pendaftaran telah diterima dan masih dalam proses saringan. Lebih ramai sukarelawan diseru untuk bersama-sama membantu KKM dalam usahasama ini.

“Setakat ini, dua NGO telah menghantar 15 anggota mereka ke Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette