Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Jika semalam jumlah kes positif Covid-19 berjumlah 869, hari ini ia meningkat lagi sebanyak 871 kes, rekod tertinggi dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Jumlah kematian pula dilaporkan sebanyak tujuh kes menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat wabak itu di Malaysia adalah sebanyak 187 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Bagi kes pulih pula, jumlah yang sembuh akibat Covid-19 adalah 701 kes menjadikan jumlah terkumpul yang dibenar keluar wad iaitu 13,262 kes.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah
sebanyak 20,498 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah 7,049 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 97 kes atau 11.1 peratus pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Penjara Kepayan.

Katanya, kes-kes itu sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

Bagaimanapun katanya, untuk negeri-negeri di Lembah Klang pula ia merangkumi 9.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jika dilihat pecahan utama jumlah kes hari ini pula, Sabah terus
mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 702 kes atau 80.6 peratus.

“Ini memandangkan lebih ramai individu telah disaring di lapangan. Sejak bermulanya pandemik, sejumlah 251,030 individu telah disaring di negeri Sabah,” ujarnya.

Dalam pada itu, sehingga kini, terdapat 86 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette