Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Rantaian jangkitan Covid-19 mesti diputuskan kerana ia mampu mengawal penularan wabak itu dengan nilai R Naught akan menurun lebih rendah daripada 1.0 sehingga kurang daripada 0.3.

Nilai R dalam konteks ini merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh kes positif atau hos virus tersebut.

Dengan memberikan contoh, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, jika nilai R adalah empat, ini bermakna setiap seorang kes positif boleh menyebarkan penyakit itu kepada empat orang yang lain dalam satu tempoh kebolehjangkitan.

Katanya, rantaian penularan terrsebut akan berterusan secara mendadak jika tiada usaha dijalankan untuk menghentikannya.

“Nilai R pada sela masa seterusnya boleh menurun sekiranya langkah-langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan bagi membendungnya.

“Menurunkan nilai R kepada kurang daripada 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.

“KKM telah memberi pemakluman kepada umum mengenai nilai R ini dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media mengenai Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, Malaysia mula mencatatkan semula nilai R yang tinggi pada 7 September lepas iaitu 1.7.

Ia adalah susulan situasi peningkatan kes Covid-19 di negeri Kedah dan Sabah pada ketika itu, katanya.

Tambah beliau, nilai R yang tinggi di kedua-dua negeri itu telah memberi kesan besar terhadap nilai R negara dan nilai R itu kemudiannya dilihat tidak stabil dan kekal melebihi 1.0.

“Gelombang ketiga wabak COVID-19 di Malaysia ini sememangnya lebih mencabar walaupun kita lebih bersedia dari segi kapasiti dan tindakan kesihatan awam yang dijalankan.

“Nilai Ro pada permulaan gelombang ketiga 20 September adalah 2.2, tetapi dalam tempoh empat minggu ianya telah menurun kepada 1.5,” ujarnya.

Tambah beliau, unjuran itu amat penting kerana ia menunjukkan bahawa masih terdapat ruang bagi kita berusaha mengawal situasi gelombang ketiga ini.

“Segala usaha di kesihatan awam di lapangan mesti diteruskan dan dilipat gandakan, kawalan pergerakan harus
diperketatkan dan rakyat perlu membantu negara dengan duduk
di rumah,” katanya. – MalaysiaGazette