Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – UMNO mempunyai pelbagai pilihan dalam menentukan jatuh bangun kerajaan Perikatan Nasional (PN).

UMNO boleh mengukuhkan PN serta menumbangkannya, malah, parti itu juga boleh mempercepatkan berlakukan pilihan raya umum (PRU), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, ia adalah pilihan terakhir UMNO kerana kedudukan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

UMNO tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umum demi suatu pilihan raya.

“Keutamaan UMNO ialah membentuk kerajaan yang benar-benar boleh mengurus negara yang berada dalam krisis.

“Dan untuk itu, UMNO mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik ini dan bukannya sekadar penyeri kepada PN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Khaled, semua pilihan itu ada dalam tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau memahami apa yang UMNO kehendaki dan beliau juga tahu apa yang UMNO mampu lakukan.

Ujarnya, keutamaan UMNO ialah kepentingan terbaik Malaysia dan jika itu juga keutamaan Perdana Menteri, beliau sewajarnya melakukan sesuatu dengan segera bagi merungkai kegelisahan yang UMNO suarakan.

Tambah beliau, UMNO akan sentiasa menyokong keputusan yang baik, dan disebabkan itu ia perlu dipamerkan dengan kepimpinan yang ikhlas, yang boleh menukarkan ‘mutual respect’ menjadi ‘trust’ yang sebenar.

Katanya lagi, UMNO telah beberapa kali menghantar isyarat yang terang lagi bersuluh kepada Perdana Menteri ia tidak perlu lagi dijelaskan dengan panjang lebar melainkan Perdana Menteri dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sengaja untuk tidak memahaminya atau masih tetap mahu mengulang naratif yang sama.

“Kononnya PPBM lah yang menyelamatkan UMNO dan menjadikan UMNO kerajaan.

“Sekalipun naratif itu tidak tepat, sekarang bukan masa yang sama untuk berperang dengan naratif dan perspektif.

“Sudah tiba masanya, untuk Perdana Menteri menilai dengan berani dan ikhlas, ke mana haluan kerajaannya, natijah dari tindakan UMNO kebelakangan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.