JPN Sabah menutup empat lagi pejabat cawangannya yang berada dalam zon merah sebagai langkah mengelak penularan Covid-19.

KUALA LUMPUR- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menutup empat lagi pejabat cawangannya yang berada dalam zon merah sebagai langkah mengelak penularan Covid-19.

Pengarah JPN negeri tersebut, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, penutupan itu membabitkan cawangan di Kudat, Ranau, Beaufort dan Tambunan.

Jelasnya, tindakan itu diambil susulan perkembangan semasa menyaksikan 16 daerah di negeri itu diklasifikasikan sebagai zon merah sejak semalam.

“Sehubungan dengan itu, JPN Sabah ingin memaklumkan bahawa kesemua pejabat-pejabat yang berada di daerah tersebut adalah ditutup kepada orang ramai sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam dilaporkan Sabah mencatat kes positif Covid-19 paling tinggi iaitu 602 daripada jumlah keseluruhan iaitu 871 kes. -MalaysiaGazette