Azalina Othman said
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said sudah muak dengan ahli politik di negara ini yang mementingkan agenda peribadi daripada mengetengahkan agenda rakyat.

Katanya, ahli politik di negara ini sudah tidak mencerminkan sifat mereka sebagai pemimpin malah telah meletakkan kepentingan peribadi sebagai matlamat mereka dalam politik.

“Secara peribadi, saya bosan dengan ahli politik dengan agenda peribadi. Nampaknya bagi saya, ahli politik sudah tidak walk the talk.

Kelakuan mementingkan diri seperti itu memalukan. Sekarang, rakyat mesti dan harus didahulukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina berkata demikian merujuk kepada situasi politik semasa negara yang tidak menentu.

Jelasnya sebagai ahli politik, setiap ahli Parlimen memainkan peranan penting mewakili orang ramai dalam membela nasib rakyat.

“Ahli Parlimen dipangil Yang Berhormat (YB) adalah dengan alasan tertentu. Ia berasal dari perkataan Perancis Honorabills, iaitu layak dihormati.

“Untuk diberikan gelaran sedemikian, ia datang dengan tugas dan tanggungjawab. Jangan kita lupa,” nasihatnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, ahli politik tidak mempunyai kuasa untuk menasihatkan tugas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebagai ahli Parlimen, saya menentang penyalahgunaan prosiding Parlimen untuk ahli Parlimen yang sikap tidak menentu terutamanya semasa kita menghadapi salah ancaman terbesar kita iaitu penularan Covid-19.

“Sekiranya pertikaian dalam parti politik, tuduh menuduh, saya mencadangkan agar ahli Parlimen melakukannya dalam parti politik mereka sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette