A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar. foto AFFAN FAUZI, 10 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan Tuntut Rakyat Malaysia (TUNTUT) mendesak Kerajaan Negeri Selangor membatalkan bil air bagi akaun yang terjejas setiap kali berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di negeri itu.

Pengerusinya, A’zlan Abu Bakar berkata, ia susulan gangguan bekalan air yang tidak berkesudahan hingga memangsakan rakyat yang terpaksa memikul bekalan air ke rumah masing-masing tanpa mengenal usia, tua mahupun muda.

“Seandainya bulan ini ada masalah bekalan air walaupun sehari, rakyat tuntut supaya bil air untuk sebulan itu dibatalkan serta-merta atau dengan kata lain diberi secara percuma.

“Ini baru adil! Barulah Kerajaan Negeri Selangor akan pandang serius kepada isu bekalan air ini untuk diberikan penyelesaian segera.

“Kita sudah melalui masalah ini sejak sekian lama, kini memasuki 2020 kenapa masih tidak boleh selesai?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan Negeri Selangor dilihat terlalu selesa sehingga tidak menghiraukan derita rakyat memikul tong air naik ke rumah bertingkat-tingkat, apatah lagi warga emas dan mereka yang uzur.

“Malah peniaga kecil juga terpaksa menghentikan perniagaan akibat tiada bekalan air hingga membawa kerugian, pesakit yang perlukan air untuk proses rawatan, persoalannya sampai bila ia akan berulang?

“Sebagai rakyat Selangor, kita beri kata dua kepada Kerajaan Negeri Selangor, sama ada selesaikan masalah air atau batalkan bil air rakyat Selangor?

“Ini baru adil, jangan kita bayar bil air tapi masih lagi memikul tong air ke dalam rumah,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya gangguan bekalan air tidak berjadual itu terus berulang, Datuk Seri Amirudin Shari sewajarnya meletakkan jawatan Menteri Besar dengan kadar segera.

“Kerajaan Selangor semakin gagal dan terus gagal menjaga dan memastikan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

“YAB Menteri Besar Selangor harus bertanggungjawab atau letak sahaja jawatan sebagai Menteri Besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette