Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner, Datuk Saiful Azly Kamaruddin (tengah) bersama Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shamugamoorthy Chinniah (kiri) bercakap kepada wartawan pada sidang media kejayaan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menumpaskan kes samun dengan rampasan wang tunai RM1.03 juta ringgit, jongkong emas dan barang kemas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 19 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Mengintip pergerakan mangsa setiap hari sebelum mengesahkan laluan rutinnya membawa wang tunai dan emas sebelum menyerang dan menyamun mangsa di Kepong baru-baru ini.

Itu taktik sekumpulan tiga penjenayah terdiri daripada pelajar dan penganggur yang kemudiannya melarikan wang tunai mangsa berjumlah RM1.6 juta dalam kejadian di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah pada 8 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian samun di tempat letak kereta daripada mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat menjalankan perniagaan pengurusan mata wang kripto berhubung kejadian itu.

Katanya, semasa kejadian mangsa membawa wang tunai berjumlah RM1.6 juta yang diletakkan di dalam beg plastik sampah berwarna hitam menuju ke keretanya sebelum diserang dua suspek lelaki yang mengekorinya belakang.

Mereka  bertindak menumbuk perut serta menyembur mata mangsa sebelum merampas bungkusan plastik yang mengandungi wang tunai.

“Kedua-dua suspek penjenayah itu kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta baharu Perodua Myvi disyaki milik salah seorang suspek,” katanya pada sidang media khas kejayaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Turut hadir dalam sidang media yang sama ialah Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah yang juga mengetuai misi menumpaskan geng samun berkumpulan itu.

Tambah Saiful Azly, rentetan kejadian itu satu pasukan khas telah ditubuhkan oleh Shanmugamoorthy.

Lapan hari selepas kejadian itu, katanya, pasukan khas JSJ IPD Sentul berjaya menahan tiga suspek berusia antara 31 hingga 42 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan di tiga lokasi berasingan pada 16 Oktober lalu.

“Hasil soal siasat dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek berjaya merampas wang tunai berjumlah RM1.03 juta, beberapa ketulan emas, barang kemas, telefon bimbit serta sebuah kereta Myvi.

“Menurut salah seorang suspek, dia membuat pembayaran penuh bagi pinjaman kereta Myvi miliknya menggunakan wang berkenaan.

“Mereka dikatakan mengikuti setiap pergerakan mangsa selama tiga hingga lima hari termasuk laluan yang dilaluinya setiap hari,” katanya.

Justeru katanya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kesemua suspek kini direman sehingga 22 Oktober ini untuk membantu siasatan lanjut kes di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Saya mengambil kesempatan ini ingin menasihatkan mana-mana pihak yang berurusan dengan wang tunai yang berjumlah besar supaya tidak menggunakan laluan sama serta mengupah pengawal keselamatan bagi mengelak daripada menjadi mangsa samun seperti ini,” tegas beliau.- MalaysiaGazette