Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR- Berteraskan prinsip No One Left Behind, kerajaan melancarkan My Local Stats yang buat julung kalinya diterbitkan sebanyak 143 penerbitan mengikut daerah pentadbiran dan tiga penerbitan Wilayah Persekutuan dan satu untuk Perlis.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penerbitan My Local Stats itu sangat penting untuk memberi gambaran sebenar mengenai situasi semasa Malaysia di peringkat tempatan.

My Local Stats jelasnya, akan menjadi sumber rujukan dan asas penting dalam menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat dalam merealisasikan hasrat kerajaan.

“Dengan adanya My Local Stats ini, penilaian terhadap sesuatu kawasan dapat dibuat dan seterusnya melihat jurang pembangunan yang berlaku antara daerah.

“Saya yakin dengan penghasilan statistik ini, pelbagai kajian di peringkat daerah dapat dibuat bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, penghasilan indeks di peringkat daerah pentadbiran juga dapat dilaksanakan berdasarkan statistik yang tersedia,” katanya semasa melancarkan My Local Stats 2019 yang disiarkan menerusi Facebook hari ini.

Menurut Mustapa, penerbitan My Local Stats mengandungi 20 bidang statistik sosioekonomi antaranya Penduduk; Perumahan; Guna Tenaga; Pendapatan & Perbelanjaan Isi Rumah; Pendidikan; Kesihatan; Perkhidmatan Kebajikan; Keselamatan Awam; Perhubungan dan Rekreasi; Internet dan Media Sosial; dan Kemudahan Asas.

Penerbitan pada tahun ini mengandungi tambahan 20 jadual baharu di peringkat daerah berbanding penerbitan tahun sebelumnya, antaranya statistik utama tenaga buruh, bilangan perkahwinan dan perceraian orang Islam dan orang bukan Islam, bilangan kebakaran, bilangan banduan, bilangan kemalangan jalan raya, bilangan penagih dadah, dan statistik kamera litar tertutup (CCTV).

Statistik di peringkat daerah pula akan dijadikan input oleh agensi di negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk merancang, membuat keputusan berdasarkan bukti serta pemantauan terutamanya bagi Agenda Tempatan.

Statistik itu juga diperlukan dalam membuat pemantauan terhadap pencapaian Agenda Mampan 2030.

Ia turut menyokong elemen Matlamat Pembangunan Lestari antaranya tiada kemiskinan (Matlamat 1); kesihatan yang baik dan kesejahteraan (Matlamat 3); pendidikan berkualiti (Matlamat 4); dan keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh (Matlamat 16).-MalaysiaGazette