Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi, Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian (kanan) hadir untuk melihat keadaan air yang tercemar di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Dua di Bestari Jaya, Kuala Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2020.

BESTARI JAYA – Pencemaran bau seolah-olah bahan kimia sylvan punca utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas sejak 12.30 pagi dan 2 pagi tadi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun pihaknya sedang menyiasat punca sebenar yang telah menyebabkan pencemaran Sungai Selangor itu.

“Siasatan awal dijalankan pihak pakar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd telah mendapat dikesan bau seperti sebelum ini iaitu bau sylvan dan punca sebenar kita masih siasat.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan agensi lain telah membuat penyiasatan punca yang masih dalam siasatan.

“Kita dapat contoh air sungai untuk dihantar ke makmal untuk mengenal pasti punca pencemaran bau setakat ini,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan ke Muka Sauk Sungai Selangor Fasa II hari ini.

Susulan insiden itu, keempat-empat LRA itu terpaksa dihenti tugas sepenuhnya dan melibatkan hampir 5 juta pengguna di tujuh kawasan iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Menurut Tuan Ibrahim, siasatan awal pihaknya turut mendapati bacaan ujian bau yang dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang pada pukul 12.30 tengah malam adalah 1 TON.

“Bagi bacaan ujian bau bagi muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pula adalah sebanyak 3 TON dikesan sejak jam 2 pagi tadi,” katanya.

Susulan bacaan LRA Sungai Selangor Rantau Panjang rendah, beliau tidak menolak kemungkinan ia boleh beroperasi semula dalam masa terdekat.

“Kita jangka berdasarkan maklumat loji ini setakat ini masih ada bau pencemaran bau mungkin dalam sejam atau dua lagi kita akan boleh beroperasi semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lembah Klang alami gangguan air tak berjadual sekali lagi