Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika melihat petugas melakukan sanitasi di hentian bas pada Program Sanitasi meliputi kawasan luar premis Kementerian di Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ HAMBALI, 19 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan RM2.6 juta untuk melakukan sanitasi awam di wilayah ini khusus bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses sanitasi atau nyahkuman itu perlu dilaksanakan dengan kerap di pusat pentadbiran negara kerana ia merupakan tempat yang sering dikunjungi oleh orang awam bagi pelbagai urusan.

Beliau berkata, operasi sanitasi itu akan dilakukan di semua jabatan kerajaan, masjid, pusat beli belah serta kawasan awam.

“Semalam, Putrajaya telah capai sifar kes baharu Covid-19. Oleh itu, kita mahu kekalkan perkembangan positif ini dan operasi sanitasi mesti kerap dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Operasi Sanitasi Awam di Presint 4n hari ini.

Annuar berkata, pihak berkuasa tempatan perlu mempunyai perancangan dengan sentiasa menyediakan peruntukan khusus bagi operasi sanitasi awam terutama ketika negara berdepan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

“Peruntukan untuk membeli bahan sanitasi serta kelengkapan perlindungan diri (PPE) perlu ada selain elaun lebih masa perlu diberikan kepada petugas barisan hadapan ini,” katanya.

Beliau menambah, peruntukan untuk memerangi wabak tersebut perlu diberi keutamaan tinggi.

Dalam pada itu Annuar berkata, sebanyak 600 Persatuan Penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diberi peruntukan khas untuk melaksanakan kempen kesedaran bagi meningkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Kita beri peruntukan RM2,000 hingga RM3,000 khusus untuk laksana program tingkat kesedaran tentang pematuhan SOP. Ianya perlu dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.

Operasi sanitasi awam hari ini dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi agensinya Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya, SW Corp dan Alam Flora.

Ia dilaksanakan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – MalaysiaGazette