Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menemui satu kluster baharu Covid-19 melibatkan daerah Kota Belud di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan menerusi indeks kes ke 17,623 yang mempunyai kontak rapat pada 14 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di PPR,Taman Seri Bayu, Kota Belud.

Katanya, berdasarkan saringan yang dibuat KKM mengenal pasti seramai 19 lagi kes positif Covid-19 yang merupakan kontak rapat bagi indeks tersebut.

“Sehingga 20 Oktober, pukul 12 tengahari, sejumlah 216 individu telah disaring di mana 21 kes dikesan positif Covid-19 dan 195 individu negatif,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Mengulas mengenai pertambahan sebanyak 132 kes positif di Selangor, Noor Hisham memaklumkan, jumlah keseluruhan kes positif wabak berkenaan di negeri tersebut kini menjadi 3,489 kes.

Katanya, bagi gelombang ketiga itu, Selangor mula menyaksikan peningkatan kes pada penghujung bulan September lepas setelah kemasukan dan kepulangan pengunjung dari
Sabah.

Tambah beliau, kluster pertama yang dilaporkan di Selangor dalam gelombang ketiga adalah Kluster Jalan Apas, iaitu pada 28 September lalu di mana ia melibatkan keluarga yang pulang dari Sabah.

“Peningkatan kes penularan tempatan di dalam negeri Selangor mula dilihat pada 2 Oktober dan meningkat secara konsisten sehingga ke hari ini.

“Untuk makluman, sejumlah 26 kluster aktif dicatatkan di Selangor bermula kluster pertama (Kluster Jalan Apas) sehingga kluster terbaru diumumkan (Kluster Hentian).

Menurut Noor Hisham lagi, situasi itu adalah berikutan kepadatan penduduk dan kadar pergerakan yang tinggi dikalangan penduduk di Selangor dan pengunjung di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette