Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sejumlah 1,097 daripada 1,292 kawasan atau 85 peratus kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah menerima bekalan air sepenuhnya sehingga pukul 9 pagi ini.

Menurut kenyataan Air Selangor, sebanyak 195 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

Bekalan air di Wilayah Hulu Selangor telah pulih sepenuhnya manakala pemulihan kawasan di Kuala Selangor dan Petaling hampir pulih sepenuhnya dengan kadar pemulihan masing-masing sebanyak 99.7 peratus dan 97 peratus.

Pemulihan bekalan air di Wilayah Kuala Lumpur ialah 89 peratus diikuti Gombak (73 peratus), Klang (54 peratus) dan Kuala Langat (50 peratus).

Gangguan air di kawasan tersebut berlaku selepas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran air mentah dikesan di Sungai Selangor. – MalaysiaGazette