Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita disyaki membunuh suaminya sendiri dengan berpakat dengan adik lelakinya akan didakwa di Mahkamah Kajang esok.

Kedua-dua tertuduh berusia 45 dan 42 tahun itu didakwa membunuh mangsa yang juga seorang cacat penglihatan berusia 59 tahun itu pada 1 Oktober lalu.

Sumber polis memberitahu, kedua-dua suspek sebelum itu sudah dua kali cuba membunuh mangsa pada September lalu namun kedua-dua percubaan itu gagal kerana kehadiran ahli keluarga mereka yang lain.

Namun pada hari kejadian, adik kepada isteri mangsa yang tinggal bersama itu memukul mangsa menggunakan tukul besi di kepala sehingga cedera parah.

Tambah sumber polis, setelah itu, mangsa dikejarkan dan dirawat di Hospital Kajang dan isteri dan adik lelakinyanya tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan sehinggalah mangsa meninggal dunia pada 10 Oktober lalu malah kedua-dua suspek adik beradik itu sentiasa berulang alik ke hospital membawa makanan dan pakaian untuk mangsa.

Sementara itu, sehari selepas kejadian, polis memanggil dan mengambil keterangan daripada kedua-dua adik beradik itu termasuk lebih 10 ahli keluarganya yang lain.

Suspek merupakan isteri kedua mangsa dan tinggal bersama isteri ketiga manakala isteri pertama mangsa sudah meninggal dunia.

“Malah selepas mangsa disahkan meninggal dunia pada 10 Oktober lalu dan kami klasifikasikan sebagai kes bunuh lalu dan mengambil keterangan kali kedua daripada isterinya selepas upacara pengkebumian mangsa.

“Daripada keterangan wanita itulah tercetus keraguan yang mana dia mendakwa tidak tahu apa yang berlaku kerana duduk di bilik setor kecil rumahnya sebelum direman enam hari untuk membantu siasatan bermula 12 Oktober lalu.

“Sepanjang upacara pengebumian, kedua-dua suspek menguruskan segala urusannya tanpa mencetuskan syak wasangka dalam kalangan ahli keluarga dan sanak saudara yang hadir pada hari tersebut.

“Namun polis hasil siasatan terhadap isteri kedua mangsa itu pada 17 Oktober lalu berjaya membongkar segala perbuatannya dan mengakui pernah cuba membunuh suaminya dua kali bersama adiknya pada September lalu dan kali ketiga berjaya menggunakan situasi mangsa keseorangan di rumah dan membunuhnya.

“Kemudian kita berjaya menahan adik lelakinya dan soal siasat dia mengaku menggunakan tukul besi untuk memukul mangsa di kepala sehingga parah dan kita berjaya selesaikan kertas siasatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah sumber lagi, suspek kedua sangat rapat dengan mangsa yang merupakan abang iparnya menyebabkan tiada siapa yang menuduhnya selepas kejadian namun demi harta dia sanggup bersekongkol dengan kakaknya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Menurutnya semasa kejadian, isteri kedua yang menjadi perancang pembunuhan berada di rumah sebelum isteri ketiga keluar menghantar anaknya ke sekolah sekitar jam 12.23 tengahari.

“Bagaimanapun isteri yang keluar telah kembali lapan minit kemudian sebelum terkejut melihat keadaan suaminya di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah dan tak sedarkan diri sebelum suspek (perancang utama) mendakwa suami mereka disamun dan dicederakan.

“Siasatan mendapati si mati bekerja menguruskan jual beli lori atau kenderaan berat dan memiliki empat buah rumah kos rendah,  dua buah lori muatan besar serta polisi insurans perlindungan bernilai lebih RM1 juta dan itulah menjadi sasaran kedua-dua suspek yang mahu ‘menghapuskan’ mangsa,” tegas sumber lagi.

Polis juga berjaya menemui dan merampas rantai emas milik mangsa yang didakwa disamun itu yang ditanam di sebuah kedai besi buruk milik suspek lelaki di Bukit Atas.

Kedua-dua suspek akan dihadapkan di Majistret Kajang esok atas kesalahan merancang dan membunuh mangsa untuk mendapatkan harta.

Mereka bakal didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Sek 34 Kanun Keseksaan.

Insiden tidak berperikemanusiaan itu juga menyaksikan wanita selaku suspek kes berkenaan sendiri tampil membuat laporan polis kononnya suaminya telah disamun ketika berada di hadapan rumah di Kampung Baru Sungai Chua.- MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Demi harta, wanita berkomplot dengan adik bunuh suami