Penyunting Video, Mohd Izzat Hasim bekerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Damansara Perdana, Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 22 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan meminta kerajaan memberikan penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) bekerja dari rumah (BDR) bagi pekerja dan pengurusan di sektor swasta.

Setiausahanya Mohd Faisal Husin, berkata pengumuman yang mewajibkan pekerja peringkat pengurusan dan kakitangan penyeliaan untuk bekerja dari rumah dan kemudian memindanya kepada hanya 10 peratus yang perlu mematuhinya, telah mencetuskan banyak kekeliruan.

Katanya, arahan berkenaan menjadi kurang jelas dan sukar untuk dipatuhi.

“Sudah tiba masanya Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan menteri yang terlibat bertindak secara bersama-sama. Mereka mesti menetapkan satu SOP khusus tanpa melakukan sebarang perubahan,

“Dalam keadaan semasa, kita memahami rasional kerajaan mengeluarkan arahan bekerja dari rumah (BDR) dan kesan langsung polisi ini dilihat lebih mementingkan aspek nyawa dan kesihatan barisan pekerja dan pengurusan berbanding pekerja peringkat lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Mohd Faisal berkata, kerajaan secara jelas dilihat tidak mendapat nasihat daripada pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan peraturan tersebut.

Semalam, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan maksimum 10 peratus pekerja di peringkat pengurusan dan penyeliaan sektor swasta bekerja di pejabat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sabah.

Ia sebagai langkah untuk memutuskan rantai pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye turut mempersoalkan mengenai penetapan hanya segmen pekerja tertentu yang dibenarkan bekerja di pejabat sementara yang lain harus bekerja dari rumah.

“Dimanakah rasionalnya SOP ini? Ia sama ada semua harus tinggal di rumah atau semua pergi semula bekerja (pejabat). Virus ini tidak mengenal sesiapa, lokasi atau pun masa.

“Jangan buat tindakan salah, rakyat bukannya menentang SOP yang ketat ini, tetapi mereka inginkan perumusan dan waktu pelaksanaan prosedur yang lebih konsisten dan rasional,” katanya.

“Diakui, situasi sukar ini memerlukan pendekatan yang sukar.

“Ini menunjukkan bahawa kejelasan dan konsistensi (dalam peraturan) akan dapat membantu mengurangkan penangguhan sementara kebebasan sivil demi kebaikan bersama,” katanya, sambil menambah bahawa usaha ini akan menjadikan SOP semasa dan yang berikutnya lebih disenangi dan diterima pakai.

— BERNAMA