Mason Greenwood.

LONDON – Penyerang muda Manchester United, Mason Greenwood dipanggil ke pihak pengurusan kerana mempunyai masalah kehadiran ke tempat latihan.

Pemain remaja berusia 18 tahun itu tidak disenaraikan dalam skuad ke Paris minggu ini untuk perlawanan Liga Juara-Juara Eropah dan juga perlawanan menentang Newcastle United.

Ketiadaannya itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat United.

Laporan yang tersebar menyatakan Greenwood sengaja direhatkan dan ditinggalkan di  United kerana arahan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Sabtu lalu pengendali Norway itu memberitahu Greenwood tidak cergas untuk perlawanan tersebut.

Namum persoalan timbul apabila Mason Greenwood kelihatan di pusat latihan sebelum skuad utama United berangkat ke Paris.

“Saya tidak boleh bercakap tentang bidang perubatan. Saya berharap beliau pulih dan berupaya untuk bermain pada Sabtu akan datang,” kata Solkjaer pada sidang media sebelum  perlawanan menentang PSG.

Sebelum ini, Greenwood telah digugurkan dari skuad kebangsaan England selepas didapati mengingkari peraturan pasukan England.

Dia bersama-sama Phil Foden berfoya-foya di bilik hotel sehingga melanggari undang-undang pasukan di Iceland.

Kedua-dua pemain tersebut digugurkan dari skuad England menentang Denmark dan juga tidak dipanggil ketika England menentang Wales dan Belgium. – MalaysiaGazette