Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR- Susulan peningkatan kes Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diperluaskan satu lokaliti di Lahad Datu, Sabah, lima penjara di zon utara dan empat penjara di Selangor.

PKPD di enam lokaliti di Semporna dan satu di Kunak, Sabah yang sepatutnya tamat tengah malam ini pula disambung sehingga 4 November depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD yang berkuatkuasa hari itu melibatkan Pusat Koreksional Perlis; Penjara Sungai Petani, Kedah dan Penjara Taiping, Penjara Tapah serta Pusat Koreksional Kamunting di Perak.

PKPD terbaharu di zon Selangor pula melibatkan Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.

Perintah tersebut turut melibatkan kuarters perumahan penjara berkenaan.

“Kawasan penjara ini memang sudah terkepung jadi tidak memerlukan grace period untuk penduduk membuat persiapan seperti kawasan-kawasan PKPD yang lain,” katanya semasa sidang media harian hari ini.

Di Sabah pula, PKPD di lokaliti Anjung Teduh Felda Sahabat Lahad Datu akan dilaksanakan bermula 24 Oktober hingga 6 November.

Dengan perintah tersebut, seramai 4,629 penduduk daripada 544 buah rumah tidak dibenarkan keluar rumah kecuali berlaku kes kecemasan atau untuk membeli barang keperluan dari kedai runcit di dalam lokaliti berkenaan.

Kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang.

“Walaupun barangan makanan kering dihantar ke setiap rumah namun kita memahami ada banyak lagi barangan yang tidak disediakan dan memerlukan penduduk membelinya sendiri seperti susu formula bayi atau lampin pakai buang.

“Jadi, SOP dilonggarkan sedikit dengan membenarkan kedai runcit beroperasi untuk memudahkan penduduk memberi barangan keperluan,” katanya.

Kelonggaran tersebut turut diberikan kepada kawasan-kawasan PKPD yang dilanjutkan tempoh. – MalaysiaGazette