Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Rakyat pasti kecewa apabila tidak ada tindakan undang-undang diambil ke atas Menteri Perladangan Perusahaan dan Komuniti, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar kuarantin wajib Covid-19 pada 7 Julai lalu.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, ada beberapa alasan keputusan itu dipersoalkan seperti kenapa terlalu lama untuk disiasat dan diputuskan jawapannya.

Katanya, tindakan itu menunjukkan pihak berkuasa seolah bermain dengan masa untuk mencari alasan bagi memutuskan menteri itu tidak bersalah.

“Kerajaan juga dilihat tidak tegas, dengan menjadikan pegawai Kementerian Kesihatan yang tidak memberikan borang 14b kepada Dr. Mohd Khairuddin sebagai “kambing hitam”.

“Sedangkan, rakyat biasa yang balik dari Sabah sebelum tarikh 27 September mengambil tanggungjawab dan inisiatif sendiri melakukan kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Dr. Mohd Khairuddin kerana melanggar kuarantin wajib Covid-19 selepas pulang dari Turki.

Artikel berkaitan: Langgar kuarantin: AG putuskan tiada tindakan lanjut ke atas Khairuddin

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan lengkap telah dirujuk polis kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, Peguam Negara memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) ke atas pemimpin Pas yang mewakili Parlimen Kuala Nerus itu.

Menurut Dr. Mohd Puad, sikap tidak adil itu jelas berlaku apabila bagi rakyat biasa diarah melakukan swab test Covid-19 dengan perbelanjaan ditanggung sendiri

“Malah, ada yang melakukannya (swab test) sampai dua kali.

“Dari segi moral, sepatutnya sebagai Menteri lebih mengetahui tanggungjawab beliau untuk melakukan kuarantin kendiri. Takkan itu tidak boleh fikir?

“Kini kerajaan dituduh melakukan “ketegasan selektif”. Kerajaan telah menambah kemarahan rakyat dengan tindakan sedemikian,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.