Sejarah ITM (sekarang UiTM) awal 1970an hingga 1975, menyaksikan graduan yang cukup hebat dan ramai berjaya dalam pelbagai bidang.- Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menangguhkan penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu yang dijadual bermula 7 Nov ke tarikh baharu iaitu pada 1 Dis depan.

Menurut UiTM dalam satu kenyataan hari ini, penetapan tarikh baharu itu bagaimanapun tertakluk kepada situasi semasa COVID-19 serta arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan berkenaan dibuat demi mengutamakan keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan semua warga UiTM serta jemputan susulan penularan pandemik itu pada ketika ini.

“Janji temu yang dibuat oleh para graduan sebelum ini adalah terbatal serta tidak terpakai. Graduan diminta mengisi dan mendaftar semula melalui Sistem Janji Temu untuk mendapatkan tarikh baharu.

“Pendaftaran untuk tarikh baharu itu akan dibuka bermula Isnin depan sehingga 8 Nov. Para graduan boleh melayari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk mendapatkan pautan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Selain melalui laman sesawang berkenaan, graduan juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai sesi penganugerahan diploma dan ijazah secara janji temu dengan menghubungi pegawai di Bahagian Rekod Pelajar dan Kovokesyen di talian 03-55443110 atau 03-55443114.

Pada 29 Sept lepas, UiTM memperkenalkan penganugerahan dilpoma dan ijazah secara janji temu dalam suasana kebiasaan baharu berikutan peningkatan kes pandemik COVID-19 yang tidak menentu.

— BERNAMA