Nazarry Rosli

KUALA LUMPUR – Biarpun ramai ahli-ahli politik cuba mengheret situasi semasa ekonomi dan pasaran dengan isu pengisytiharan darurat namun hampir semua pandangan bermotifkan politik.

Pandangan-pandangan mereka tidak menyatakan isu ekonomi dan pasaran yang sebenar.

“Daripada apa yang saya baca dan saya teliti hampir 90 peratus kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin dari parti-parti politik memang bersifat politik, hanya 10% sahaja daripada perspektif ekonomi,” kata Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), Nazarry Rosli.

Menurut beliau, pasaran saham sebenarnya mempunyai ‘daya bau’ yang cukup hebat dan cepat bertindak jika ‘terbau’ sesuatu.

Oleh itu, katanya, pasaran saham tidak akan menipu sesiapa dan sesiapa tidak boleh tipu orang lain apabila mengaitkan kedudukan pasaran.

Ini kerana, pasaran bersifat terbuka dan terlalu besar sehingga sukar dimanipulasi.

Lantaran itu, beliau menyifatkan kebanyakan kenyataan yang mengaitkan kedudukan pasaran dengan isu darurat sebenarnya bercakap tanpa melihat membaca prestasi indeks FBM KLCI.

”Kalau pun mahu menolak cadangan darurat janganlah membuat kenyataan berlebih-lebihan, seolah-olah pasaran tempatan dalam keadaan yang teruk betul.

“Pada saya kalau jatuh empat, lima atau di bawah 10 mata itu biasa dalam urus niaga saham. Tambah-tambah pula dalam keadaan pasaran satu dunia tidak menentu akibat Covid-19.

“Malah, kejatuhan sebanyak itu kadang-kala mengundang kehairanan dalam kalangan pelabur, sehingga satu tahap ada yang tertanya-tanya jatuh banyak ini sahaja ke?

“Lainlah kalau jatuh 20, 30 mata hingga berlarutan, itu bolehlah kita dakwa pasaran tempatan teruk,” jelasnya.

Buktinya, Jumaat lalu, ketika kecoh-kecoh tentang isu darurat, FBM KLCI ditutup 9.20 mata lebih rendah kepada 1,494.64.

“Sebab itulah saya katakan ‘deria bau’ pasaran sangat kuat,” ujarnya lagi.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan pasaran akan jatuh pada pembukaan pagi esok disebabkan jualan panik.

Keadaan ini sebenarnya dipacu oleh sentimen melampau oleh pemimpin-pemimpin politik yang mengambil kesempatan penularan Covid-19 dan isu darurat hingga mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak sepatutnya.

Tetapi, banyak mana pun indeks jatuh, prestasi pasaran akan meningkat semula kerana pasaran sentiasa bersifat rasional.

Nazarry berkata, walaupun wabak Covid-19 yang mengakibatkan sektor pelancongan dan penerbangan hampir lumpuh di seluruh dunia, tetapi Allah itu hebat.

“Tatkala hotel-hotel tidak dapat beroperasi, industri penerbangan jadi kaku tapi pasaran Malaysia ‘diselamatkan’ dengan industri sarung tangan getah, penjagaan kesihatan dan teknologi maklumat.

“Sepanjang dilanda wabak, pasaran Malaysia mendapat keuntungan melalui kaunter-kaunter ini. Kaunter-kaunter ini membantu pasaran bertahan.

“Kita sepatutnya bersyukur sangat-sangat kerana Allah masih sayangkan Malaysia,” katanya.

Justeru, menurutnya, kalau hendak memberi justifikasi bahawa pasaran tempatan teruk, sebenarnya bukanlah teruk sangat. – MalaysiaGazette