Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad. foto Agensi

SYDNEY – Australia melahirkan rasa kebimbangan serius susulan tindakan Qatar yang menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas wanita warganya yang mahu menaiki penerbangan dari Doha ke Sydney baru-baru ini.

Pemeriksaan itu dilaporkan dilaksanakan selepas kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad menemui bayi baharu lahir di dalam tandas terminal.

Identiti bayi itu belum dikenal pasti dan kini dalam penjagaan perubatan.

Para penumpang wanita telah dibawa menaiki ambulans ke lapangan dan diminta menanggalkan seluar dalam sebelum diperiksa, menurut laporan Channel Seven.

Wanita-wanita berkenaan tidak dimaklumkan kenapa mereka perlu menjalani pemeriksaan tersebut sebelum berlepas dengan Qatar Airways pada 2 Oktober lalu.

Kerajaan Australia telah mengemukakan perkara itu kepada pihak berkuasa Qatar.

Jurucakap polis New South Wales, yang menjalankan operasi kuarantin hotel untuk mereka yang tiba di Sydney memaklumkan, wanita-wanita itu telah menyelesaikan kuaratantin wajib telah diberi sokongan perubatan dan psikologi oleh NSW Health.- MalaysiaGazette