Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR – Seandainya Tan Sri Muhyiddin mahu terus menerajui negara sebagai Perdana Menteri dengan bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang ketika pandemik Covid-19, beliau perlu bertindak cepat.

Tindakan itu termasuk menggesa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin meletak jawatan kerana telah mengundang pelbagai ‘huru hara’ politik di negara ini.

Menerusi kenyataan di blognya, Pengerusi DAP Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negara, Liew Chin Tong mendakwa, dua pemimpin itu sebenarnya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku kepada kerajaan Muhyiddin pada masa ini.

Malah tindak-tanduk serta nasihat mereka telah ‘mengganggu’ proses demokrasi berparlimen.

“Saya sudah cakap sejak sesi Parlimen pada 18 Mei lepas, Muhyiddin sepatutnya berhenti berharap dan percaya bulat-bulat kepada Hamzah dan Azmin.

Hamzah sendiri seperti tidak faham realiti politik sekarang, tidak lagi seperti dulu hanya ‘berasaskan kepada satu parti politik sahaja.

“Ingat lagi apa yang berlaku dengan UMNO sehingga kalah besar pada Mei 2018? Hamzah masih lagi cuba berusaha mengembalikan pemerintahan satu parti dengan anggapan Muhyiddin memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Antara Mac sehingga Mei pula, Hamzah cuba membeli Ahli Parlimen dari pembangkang. Tidak ramai pun yang menerima pelawaan menyeberang dengan majoriti tipis itu, jangkaan kononnya ramai akan lompat sebenarnya sangat ‘bodoh’.

“Malah selama lebih setengah tahun, pencapaiannya hanya sekadar Ahli Parlimen Lubok Antu sahaja yang melompat ke sana. Kemudian campur tangan Hamzah di Sabah, kemenangan juga tidak seberapa.

“Langkah Sabah itu akhirnya telah menyebabkan UMNO dianaktiri sehingga Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi  berusaha untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin satu-satunya kejayaan Muhyiddin di Sabah ialah melonjakkan kes positif Covid-19 di negeri itu,” tulis bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.

Sambung Chin Tong lagi, beliau mendapat tahu keputusan menggantung Parlimen dan darurat ini bukanlah sesuatu yang baharu beberapa hari berlaku.

Sebaliknya, kata beliau, dia tahu sejak beberapa minggu yang lepas.

“Saya ada juga terbaca kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran yang mahu menggantung sesi Parlimen. Beliau mungkin telah di minta untuk ‘check waters’ terlebih dahulu dengan kenyataan tersebut.

“Tapi apa yang mengejutkan saya, Muhyiddin sebenarnya meneruskan juga ‘idea’ tersebut malah mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong Jumaat lepas.

“Sebenarnya penilaian Muhyiddin sangat mengejutkan. Beliau terus membuat kesilapan demi kesilapan dengan keputusan mengejutkan darinya, bermula daripada membuang kerajaan Pakistan Harapan.

“Hamzah juga merupakan arkitek rampasan kuasa yang gagal pada Oktober 2019 (yang berusaha memecat DAP dan Amanah dari PH), bersekongkol dengan Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein.

“Dia juga merupakan penggerak utama kudeta Sheraton, dibantu oleh Azmin,” ujarnya.

Kata Chin Tong, kini sekiranya Muhyiddin berhasrat untuk terus ke hadapan beliau perlu menerima hakikat dirinya bukanlah menerajui sebuah kerajaan dengan majoriti dua pertiga atau pemerintahan satu parti dominan sahaja.

Sebaliknya, kata Chin Tong, tanggungjawab serta peranan Muhyiddin adalah mewujudkan permuafakatan antara sekutu dan meminta muhibah dengan pembangkang lagi-lagi ketika pandemik ini.

“Henti aniaya pembangkang, beliau perlu menjadi Perdana Menteri untuk semua dan bukannya untuk parti Bersatu sahaja. Bukan sahaja pembangkang gusar malah sekutunya, UMNO sendiri.

“Untuk ini, Muhyiddin perlu minta Hamzah dan Azmin letak jawatan dari Kabinet, terima hakikat dan tanggungjawab terhadap semua keputusan serta nasihat termasuklah menasihati YDPA juga keadaan huru hara serta toksik politik kerana dua pemimpin ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Betol jugk tu…Melayu sama Melayu pakat telan menelan satu sama lain.. Last2 DAp yg dipersalahkan.. Kahkajkah

Comments are closed.