KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang tampil mempersoalkan kenapa rakyat Malaysia khasnya ahli politik terus main politiking dan tidak mendahulukan krisis Covid-19 daripada terus berpolitik.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri hari ini menulis dalam nada kecewa bagaimanakah titah Yang Dipertuan Agong (YDPA) untuk berhenti berpolitik dan bersatu memerani pandemik.

Jelasnya ia juga merupakan intipati pesanan Yang di Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu pada hari Ahad lepas.

“Pada malam Ahad, persoalannya adalah sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan penolakan YDPA terhadap cadangan Kabinet untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen.

“Malam semalam, persoalannya bertukar kepada adakah pemerintahan pintu belakang Muhyiddin akan tumbang sekiranya Majlis Tertinggi UMNO memutuskan untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk melalui plot Langkah Sheraton pada bulan Februari lalu.

“Semua percakapan menggunakan bahasa politik perdamaian dan perpaduan nasional tetapi tindakan yang dilihat menunjukkan tanda-tanda politik perpecahan dan polarisasi nasional.

Nampaknya, nasihat YDPA kepada rakyat Malaysia untuk berhenti berpolitik dan menggugat kestabilan kerajaan sebaliknya melawan penularan Covid-19 tidak diendahkan.

“Nasihat Raja-Raja Melayu untuk menterjemahkan prinsip-prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen menjadi budaya pentadbiran untuk memastikan keadilan dan membendung sebarang penyalahgunaan kuasa tidak diendahkan,” tulisnya.

Bagaimanapun walaupun Penasihat DAP itu menyelar pimpinan politik kerajaan namun sedar atau tidak, pimpinan parti itu juga masih main politiking.

Setiausaha Publisiti DAP sendiri, Tony Pua dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong contohnya juga mengeluarkan kenyataan politik yang panas berhubung perkara yang sama.

Tony semalam meminta mana-mana yang mengharapkan sokongan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menubuhkan kerajaan baharu boleh pergi ‘jahanam’.

Manakala Chin Tong berkata, DAP boleh bekerjasama dengan Muhyiddin tetapi Bersatu perlu menyingkirkan Datuk Seri Mohamed Azmin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan yang perlukan sokongan Najib boleh pergi jahanam – Tony Pua

Seorang lagi pemimpin DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning, V. Ganabatirau juga menulis panjang lebar sejurus selepas titah YDPA dan mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diangkat Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin.

ARTIKEL BERKAITAN:

Jika PM mahu betulkan keadaan, pecat Azmin, Hamzah- Chin Tong

Bukan sahaja Ganabatirau, masih ada juga segelintir pimpinan DAP yang masih lagi menulis tentang kemelut politik melanda negara selain cadangan menaikkan Anwar walhal nasihat sudah diberikan untuk berhenti main isu politik dan fokus Covid-19.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menarik perhatian dengan laporan portal berita antarabangsa yang menyiarkan berita bahawa Sepanyol mengisytiharkan darurat.

Namun kata Kit Siang situasi Covid-19 di Malaysia walaupun serius adalah tidak sama seperti Sepanyol yang mengisytiharkan darurat selepas 1,156,498 jangkitan dan 35,031 kematian.

“Namun, perbezaan yang paling penting adalah bahawa keadaan darurat di Sepanyol tidak melibatkan penggantungan Parlimen Sepanyol. 

“Malah, Parlimen Sepanyol sendiri akan memutuskan sama ada darurat akan dilanjutkan melebihi 14 hari.

“Bagaimanapun, di Malaysia, tujuan darurat adalah untuk menggantung Parlimen daripada dan bukannya melaksanakan perintah darurat.

“Amat memilukan melihat negara kita mencatatkan peningkatan harian empat angka buat kali kedua semalam dengan 1,240 kes walaupun tidak seperti keadaan di Sepanyol dengan peningkatan harian sebanyak 20,000 kes.

“Atau di Amerika Syarikat yang mencatatkan lebih daripada 84,000 kes Covid-19 baharu pada hari Jumaat lepas.

“Kita hanya akan mensia-siakan usaha para petugas barisan hadapan yang mempertaruhkan kesihatan dan nyawa mereka untuk memerangi wabak Covid-19 ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast