KUALA LUMPUR – IKHLAS, cabang perniagaan mesra Muslim di bawah naungan airasia.com melancarkan derma digital awam ‘IKHLAS untuk Sabah’ untuk membantu komuniti yang terjejas oleh pandemik di negeri itu.

Bermula hari ini hingga 30 November 2020, orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari laman ikhlas.com dan juga melalui airasia.com super app.

Ketuanya, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya berhasrat untuk membantu sekurang-kurangnya 2,500 buah keluarga daripada pelbagai komuniti melalui kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan tempatan Sabah bagi mengenal pasti kumpulan yang memerlukan bantuan seperti keluarga yang kurang bernasib baik, ibu tunggal, orang kurang upaya, komuniti tempatan dan juga pasukan barisan hadapan tanpa mengira agama atau kepercayaan mereka.

Sumbangan yang dikumpul akan digunakan untuk membeli bekalan seperti barang keperluan asas dari peniaga tempatan dan PKS di Sabah supaya kami turut membantu perniagaan mereka dalam masa yang sukar ini.

Sejak April 2020, perkhidmatan Sedekah IKHLAS telah menerima dana sebanyak RM1.3juta melalui inisiatif ‘Derma dengan IKHLAS’ yang merupakan inisiatif derma digital awam pertama mereka yang telah membantu lebih 15,000 keluarga di seluruh negara.

IKHLAS merupakan jenama perniagaan di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia. – MalaysiaGazette