Pengarah Jabatan Agami Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan majlis akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan kepada pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan membuat temu janji dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sahaja.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, kebenaran itu hanya terpakai bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di dalam zon hijau dan kuning sahaja.

“Pelaksanaan majlis akad nikah itu hanya boleh dijalankan di pejabat Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI dan pejabat JAWI Putrajaya sahaja buat masa ini.

“Semua pihak yang terlibat juga perlu mematuhi Garis Panduan Majlis Akad Nikah Dalam (PKPB) yang telah ditetapkan.

“Arahan yang dikeluarkan ini adalah tertakluk kepada peraturan yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pengurusan tertinggi JAWI dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keputusan itu dicapai susulan pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa PKPB bagi wilayah Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sepatutnya tamat hari ini dilanjutkan 14 hari lagi bermula 28 Oktober hingga 9 November 2020.

Menurut Ismail Sabri, perkara berkenaan diputuskan dalam MKN semalam, selepas meneliti perkembangan semasa penularan Covid-19 di Lembah Klang. – MalaysiaGazette