Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menolak dakwaan pihak tertentu kononnya jabatan itu tidak lagi menyediakan peruntukan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk membayar elaun guru takmir.

Sambil menyifatkan laporan yang ditularkan pihak tertentu itu bertujuan menjatuhkan imej JAKIM, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) jabatan itu, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, peruntukan elaun guru takmir bagi seluruh negeri adalah mencukupi sehingga Disember ini.

“Sukacita JAKIM maklumkan, peruntukan elaun guru takmir bagi seluruh negeri pada tahun ini adalah mencukupi sehingga bulan Disember 2020.

“JAKIM tiada halangan kepada pihak negeri untuk menguruskan pembayaran elaun tersebut, tertakluk kepada prosedur kewangan semasa,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Merujuk surat yang dikeluarkan MAIK bertarikh 8 Oktober 2020 yang tular mengenai isu itu, beliau berkata, arahan itu adalah berdasarkan prosedur kewangan negeri berkenaan (Kelantan).

Justeru, kata Abdul Aziz, JAKIM sekali lagi pada Isnin 26 Oktober lalu telah mengeluarkan surat pekeliling kepada negeri-negeri mengenai pemakluman pembayaran elaun guru takmir.

“Kita tegaskan, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan para murabbi ummah yang banyak membantu pembangunan insan di negara ini seperti guru takmir dan guru KAFA.

“Ini terbukti melalui arahan yang dikeluarkan oleh Menteri (Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri) pada Mac lalu supaya elaun guru takmir dan guru KAFA dibayar penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bayaran penuh ini dibuat sama ada kelas pengajian takmir atau KAFA dapat dilaksanakan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berharap dengan penjelasan itu dapat menutup ruang fitnah yang sengaja dicetus oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette