KUALA LUMPUR- Ramai yang memandang enteng tentang pencemaran sungai walaupun kebanyakan daripada kita adalah “penyumbangnya” sama ada secara besar-besaran seperti kilang dan aktiviti pembalakan haram atau sekadar membuang sisa minyak masakan dan sampah ke dalam longkang.

Apabila bekalan air bersih terganggu akibat pencemaran sungai, mulalah jari ligat tunding-menunding.

Padahal sebatang jari ditunding ke arah orang, empat lagi ke muka sendiri.

Apa agaknya akan jadi jika sungai “merajuk”? Layanan buruk yang diterimanya, dibalas pula dengan air yang kotor?

Baru padan muka kita!

Itulah mesej yang cuba disampaikan oleh Syarikat Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu video pendek pesanan khidmat masyarakat (PSA) supaya setiap orang yang hidup di dalam negara ini sedar bahawa tanggung jawab memelihara sungai perlu dipikul bersama.

Video berdurasi tiga minit 49 saat itu tampil berbeza dengan PSA-PSA lain.

Menggunakan kaedah drama pendek tanpa suara, tema seram dipilih dengan watak utama seorang wanita cantik (hantu?) berkebaya biru, berkain batik dan membawa sebiji buyung berisi air kotor dan hitam untuk membalas dendam kepada pencemar sungai.

Setiap kali dia bertemu dengan pesalah, wanita bermata tajam itu akan mencurahkan isi buyung tersebut supaya si pesalah menerima balasan di atas perbuatannya mencemarkan sungai.

Wanita berkebaya biru itu adalah simbolik kepada sumber air negara dan di penghujung video, dia melangkah pulang ke tempat asalnya dengan wajah muram.

Mungkin sedih kerana tidak dihargai sedangkan “dia” adalah anugerah tuhan untuk manusia.

Setakat artikel ini ditulis, video yang mula dipaparkan pada 23 Oktober lalu di Facebook SPAN telah mendapat 1,200 perkongsian.

Rata-rata memberi komen positif dan memuji konsep serta nasihat yang disampai dalam PSA berkenaan.

Ia sepatutnya memberi lebih kesedaran kepada semua rakyat untuk sama-sama menjaga kebersihan sumber air.- MalaysiaGazette

https://www.facebook.com/159601577851992/posts/989464061532402/