Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes positif Covid-19 yang dicatatkan hari ini menurun kepada 649 berbanding 801 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia adalah 30,900.

Manakala jumlah kes yang telah sembuh adalah 685 menjadikan  kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,087.

Daripada 649 itu, tujuh daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes harian baharu tertinggi dengan 352 kes (54.2 peratus).

Ini diikuti Selangor (132 kes baharu), Negeri Sembilan (43 kes), Kedah (37 kes), Kuala Lumpur (21 kes), Labuan (17 kes), Pulau Pinang (13 kes), Johor (10 kes), Sarawak (lapan kes), Perak (lima kes) dan masing-masing satu kes di Pahang, Melaka, Terengganu dan Putrajaya.

“Sebanyak 36 kes (5.5 peratus daripada jumlah keseluruhan) adalah berkaitan kluster-kluster penjara dilaporkan pada hari ini iaitu 34 kes daripada Kluster Tembok dan dua kes daripada Kluster Penjara Reman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai kes import hari ini, Dr. Noor Hisham menjelaskan ia melibatkan dua warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara yang tiba dari Indonesia (lima kes), India (satu kes) dan Filipina (satu kes).

Sehingga kini, terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian direkod hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 246 kes (0.8 peratus).

– MalaysiaGazette