Mohd Muzzammil Ismail

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) melantik Mohd Muzzammil Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya.

Dengan pelantikan Muzzammil, Yayasan Peneraju akan meneruskan usahanya dalam meningkatkan bilangan bakat bumiputera yang kompeten dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan profesional dan vokasional.

Setakat ini, Yayasan Peneraju telah merealisasikan aspirasi lebih dari 33,000 penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui 261 program pembiayaannya, dengan agihan peruntukan sebanyak RM716 juta dalam tempoh lapan tahun.

Di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Peneraju adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan memperkukuhkan bakat dan kemampuan bumiputera di seluruh Malaysia untuk menghadapi cabaran global.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof berkata, beliau yakin Muzzammil akan dapat menjalankan tugas dengan baik bersama tenaga kerja Yayasan Peneraju.

‚ÄúPengalaman bekerja dengan pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi pada masa lalu akan dimanfaat untuk memimpin Yayasan Peneraju, untuk terus mengemudinya ke tahap yang sama dengan yang ada di negara maju, dari tenaga kerja yang intensif ke status ekonomi bernilai tinggi dengan pendapatan tinggi,” katanya.

Dengan latar belakang pendidikan sebagai perancang bandar, Muzzammil memperoleh Ijazah dengan kepujian dalam Perancangan Bandar & Wilayah dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 2012 di bawah tajaan JPA.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang Perancangan Harta Tanah dan Perancangan di Heriot-Watt University, United Kingdom di bawah tajaan MARA.

Muzzammil juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat di Institut Penyelidikan Belia (IYRES) sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Felo Akademik di UUM, pegawai penyelidik di USM dan UM, termasuk juga di beberapa firma juruukur dan perancang bandar seperti Think-City Geografia dan BLT Architect. – MalaysiaGazette