Air Sungai Balak yang dikesan mengeluarkan warna putih.

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang berasaskan makanan yang terletak di Kampung Baru Balakong akan didakwa kerana didapati mencemarkan Sungai Balak.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuka kertas siasatan untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Pencemaran itu kesan selepas JAS menemui punca luahan air berwarna putih dan di tepi-tepinya digenangi cecair hitam berminyak yang mengalir secara berterusan ke Sungai Balak.

Pegawai JAS mengambil sampel efluen yang mengalir ke Sungai Balak

“‘Semasa pegawai JAS memasuki kilang, didapati pelepasan air berwarna putih sedang berlaku melalui saluran paip bawah tanah dan menuju ke Sungai Balak.

”Dalam pada itu, siasatan juga mendapati efluen mentah dan lelehan minyak hitam didapati mengalir memasuki longkang kilang dan seterusnya memasuki satu saluran paip bawah tanah yang mengalir ke Sungai Balak,” kata Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar.

JAS Negeri Selangor telah menjalankan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) yang mana operasi pengeluaran kilang diberhentikan serta merta sehingga tindakan pembaikan diambil oleh pihak kilang.

Menurutnya, kilang juga diarahkan untuk melakukan kerja-kerja penutupan (plug) saluran haram ke Sungai Balak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan sungai yang telah tercemar.

Air berwarna putih daripada proses pengeluaran premis bercampur sisa minyak dialir ke longkang tanpa melalui sistem rawatan

Perintah Larangan (PL) di bawah Peraturan 30, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar dikeluarkan bagi melarang pengendalian proses perindustrian untuk satu tempoh sehingga langkah-langkah pemulihan sepertimana diarahkan itu dipatuhi.

Manakala sebanyak tiga sampel diambil dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan keputusan analisis kimia dijangka diperolehi dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette