KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan tinjauan persiapan yang dilaksanakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang (PU Subang) bagi penghantaran keperluan barang-barang kritikal bagi menangani pandemik Covid-19 ke Sabah hari ini.

Perdana Menteri tiba di PU Subang pada jam kira-kira 8.30 pagi dan telah disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM.

Beliau kemudiannya diberikan taklimat ringkas oleh Panglima Tentera Udara berkenaan penugasan pesawat-pesawat TUDM di dalam misi membantu memerangi wabak Covid-19 sepanjang tahun ini di Sabah dan Sarawak.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam tinjauan ini adalah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri  Dr. Adham Baba dan Ketua Setiausaha
Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez  Abd Aziz.

Markas Tentera Udara berkata, sejurus selepas taklimat, Perdana Menteri kemudiannya meninjau proses persiapan memasukkan barang-barang bantuan ke dalam badan pesawat oleh anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta anak kapal pesawat yang terlibat bagi penghantaran ini.

Pada hari ini, dua buah pesawat angkut telah diaturgerak oleh TUDM bagi misi ini iaitu A400M dari No. 22 Skuadron dan C-130H daripada No. 20 Skuadron.

Pesawat A400M itu membawa 13 tan barangan kelengkapan dan peralatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertahanan, Yayasan Amal Malaysia dan Sunway Healthcare.

Peranan yang dimainkan oleh TUDM dalam membantu negara dalam memerangi wabak Covid-19 amat penting kerana pesawat-pesawat TUDM mampu diaturgerak sebilang masa serta mampu
membawa barangan mega ton.

Untuk rekod, bermula dari 22 Mac hingga 27 Okt 2020, sebanyak 17 penerbangan atau sortie penghantaran telah berjaya dilaksanakan oleh TUDM melibatkan jumlah muatan barang bantuan seberat 433,886.5 kg.

Antara barang yang dibawa adalah set PPE, pelitup muka, sarung tangan, hand sanitizer, peralatan hospital medan ATM, peralatan hospital KKM, mesin x-xray, mesin bius, ventilator, bekalan farmasi, Covid-19 test kit, sampel COVID-19, peralatan memasak dan makanan.

Selain itu, sepanjang Oktober ini, sebanyak 471 kotak sampel COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau telah dibawa menggunakan penghantaran oleh pesawat TUDM untuk diserahkan kepada pihak KKM di PU Subang bagi dilaksanakan ujian pengesahan di makmal-makmal Semenanjung
Malaysia.

TUDM turut membawa 68 petugas yang terdiri daripada pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) bagi pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) di Tawau berikutan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Manakala seramai 151 orang Tim Mobilisasi KKM telah dihantar ke Tawau dan Kota Kinabalu.

Semasa tinjauan itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima
kasih kepada anggota TUDM serta agensi-agensi lain yang terlibat sebagai barisan hadapan yang mana sentiasa bertungkus-lumus membantu negara bagi mengawal serta memerangi wabak Covid-19 di dalam negara. – MalaysiaGazette