Temubual bersama penduduk, Silvaraj Sinnan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan menyatakan kesukaran membenarkan pengeluaran wang dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) namun nampaknya majoriti mahu ia dilaksanakan bagi membendung masalah yang dihadapi ekoran Covid-19.

Justeru itu, MalaysiaGazette hari ini mengambil inisiatif membuat tinjauan dan mendengar sendiri pandangan rakyat mengenai perkara yang sama.

Hasil tinjauan, rata-rata melihat saranan itu kena pada masanya bagi mengurangkan beban yang tidak berkemampuan dan masalah kewangan yang dihadapi rakyat.

Seorang pegawai bank, Silvaraj Sinnan, 60, berkata, waktu ini merupakan saat kritikal di mana semakin ramai yang berhadapan dengan kekangan kewangan selepas kehilangan kerja, gaji dipotong selepas banyak organisasi yang tidak lagi mampu beroperasi seperti biasa.

Katanya, dengan membenarkan rakyat mengeluarkan wang caruman mereka sendiri merupakan penyelesaian terbaik berbanding meminjam daripada ah long kerana terdesak demi kelangsungan hidup.

“Kena bagi pilihan mereka yang mahu, kena bagi pilihan. Nak keluarkan atau tidak terpulang kepada individu tetapi kena beri pilihan sebab sekarang kritikal lebih baik keluarkan dari sini daripada pinjam ah long,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambah Silvaraj, antara golongan yang perlu diberi kebenaran untuk menggunakan wang mereka dalam akaun KWSP adalah golongan B40 dan M40 kerana mereka majoriti terkesan sejak penularan pandemik bermula Mac lalu.

“Walaupun ia simpanan untuk hari tua tapi ini boleh dikira kecemasan. Walau tidak semua benarkanlah keluarkan 20 peratus atau 30 peratus, ia boleh membantu. Ia memadai boleh mengurangkan masalah kewangan B40 dan M40,” katanya lagi.

Meskipun senada dengan Silvaraj, namun pemilik kedai bunga yang hanya mahu dikenali sebagai Loo, 73, pula berkata, pelaksanaan kebenaran pengeluaran wang caruman daripada Akaun 1 KWSP perlu seiring dengan garis panduan yang tidak merumitkan.

Dalam masa yang sama ia dapat mengelak berlakunya penipuan, katanya.

Temubual bersama penduduk, Loo di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

“Boleh dilaksanakan tapi kena adakan garis panduan yang jelas kalau tidak ada orang yang salah guna nanti, ada ejen-ejen yang ambil kesempatan untuk cari keuntungan sendiri jadi ramai yang kena tipu nanti.

“Garis panduan nak keluarkan wang dari akaun itukena jelas jadi perkara yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku,” menurutnya.

Daripada segi jumlah beliau Loo berkata, kelulusan perlu bergantung kepada keperluan pemegang akaun yang boleh dipertimbangkan berdasarkan pendapatan isi rumah.

“Jumlah susah nak tentukan terpulang kepada individu ada yang kata RM5,000 setengah jam sudah habis ada yang kata RM5,000 sebulan boleh habis. Jadi susah nak buat anggaran jumlah itu. Kena tengok saiz keluarga ada satu, dua orang, atau 10 orang, jadi keperluan itu berlainan,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, Marina Muhammad, 37, pula melihat masalah kewangan majoriti rakyat pada waktu ini boleh mengakibatkan gejala sosial dan jenayah dalam negara meningkat.

Temubual bersama penduduk, Marina Muhammad di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

Oleh sebab itulah kelonggaran harus diberikan kepada rakyat untuk menggunakan caruman KWSP mereka pada waktu ini.

Namun kelulusan tambahnya, hanya boleh diberikan kepada yang benar-benar memerlukan.

“Saya rasa itu atas hak individu yang boleh menilai status kewangan masing-masing. Walaupun sekarang ini keadaan makin lama makin sukar disebabkan Covid-19 tetapi sekiranya ada simpanan, alhamdulillah tetapi sekiranya tidak ada kerajaan boleh atur langkah berikan kelulusan keluarkan itu jalan terbaik

“Tapi kena ingat jangka masa panjang untuk hari tua nanti. Jadi perlu benarkan dalam keadaan sekarang untuk mengurangkan jenayah atau gejala sosial yang akan meningkat lagi,” kata Marina yang bekerja di kedai menjual buah di Pasar Taman Tun Dr Ismail.

Selain itu, melihat kebenaran untuk mengeluarkan wang caruman daripada Akaun 1 KWSP itu sebagai keperluan mendesak, seorang penjawat awam, Mohd Afiq Azmi, 31, menjelaskan ia boleh digunakan untuk menampung kos seharian bagi golongan tidak berkemampuan khususnya yang terjejas apatah lagi yang telah kehilangan pekerjaan.

Temubual bersama penduduk, Mohd Afiq Azmi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

Beliau mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang caruman itu boleh dilaksanakan sebelum Januari tahuin depan kerana bagi mereka yang bekeluarga khususnya mempunyai anak yang bersekolah, ia sudah tentu memerlukan belanja besar setiap awal tahun.

“Memang wajar untuk keperluan rakyat masa ini. Memang ia keperluan mendesak masa ini. Macam saya lihat kalau tidak dapat RM10,000, RM5,000 pun memadailah untuk menampung,” katanya.- MalaysiaGazette