Dolla bakal muncul dengan single kedua mereka berjudul Impikan.

KUALA LUMPUR – Sejak melancarkan single debut mereka, Make You Wanna pada Mac lalu, kumpulan wanita baharu Dolla berjaya menggegarkan industri muzik Malaysia dengan konsep lagu, penampilan, nyanyian dan tarian setaraf dengan kumpulan wanita antarabangsa.

Walaupun nama Dolla masih baru dalam industri Malaysia namun kumpulan wanita yang dianggotai empat gadis cantik ini sudah pun berjaya mengumpul peminatnya sendiri yang menggelarkan diri mereka ‘iDOLLA’.

Baru sahaja beberapa bulan kemunculan mereka, namun Dolla sudah diberi peluang untuk membawa bakat mereka ke arena antarabangsa apabila mereka terpilih untuk berkolaborasi dengan artis-artis wanita dari seluruh Asia Tenggara dalam menghasilkan lagu Heal sebuah projek khas kelolaan Star Music, anak syarikat konglomerat media ABS-CBN yang berpusat di Filipina.

“Lagu itu yang baharu saja dilancarkan pada September lalu merupakan projek yang pertama seumpamanya di rantau ini bertujuan menyampaikan rasa cinta dan memacu penyatuan warga rantau ini dalam menghadapi suasana tidak ketentuan dan waktu mencabar akibat pandemik Covid-19.

Bagi meluaskan lagi jangkauan muzik mereka, Dolla bakal muncul dengan single kedua mereka berjudul Impikan. Turut dilancarkan bersama lagu itu adalah  lagu versi Bahasa Inggeris yang diberi judul Watch Me Glow.

Lagu itu adalah ciptaan komposer dan penerbit terkenal dari Sweden iaitu Ludwig Lindell, Daniel Caesar, Karl Oscar Gummesson yang turut menulis lirik untuk Watch Me Glow manakala lirik Impikan pula ditulis oleh penyanyi rap, komposer dan penerbit terkenal Malaysia iaitu Luca Sickta dan YonnyBoii.

Mengulas tentang lagu yang menggunakan khidmat pencipta lagu antarabangsa yang pernah menghasilkan beberapa lagu hits untuk kumpulan K-Pop seperti LOONA, Red Velvet, Girls’ Generation, EXO-CBX, VIXX, Boys Republic dan Pentagon, Sabronzo bagi pihak DOLLA berkata, sudah pastinya mereka sangat teruja diberikan lagu daripada komposer dan penerbit antarabangsa yang sebelum ini pernah menghasilkan lagu-lagu hits K-Pop seperti All Night nyanyian Girl’s Generation.

Dengan peluang ini kata Sabronzo, ianya sedikit sebanyak memberikan kami kelebihan kepada Dolla untuk membawa konsep muzik yang lebih bercitarasa antarabangsa.

Dolla sudah diberi peluang untuk membawa bakat mereka ke arena antarabangsa apabila mereka terpilih untuk berkolaborasi dengan artis-artis wanita dari seluruh Asia Tenggara dalam menghasilkan lagu Heal sebuah projek khas kelolaan Star Music.

Ketua Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar pula menjelaskan bagaimana lagu ini dipilih menjadi taruhan terbaharu Dolla.

“Sebenarnya kerjasama kami dengan syarikat produksi The Kennel AB dari Sweden ini sudah lama terjalin menerusi beberapa projek untuk artis di bawah Universal Music Group.

“Bila kami menerima lagu Watch Me Glow dalam senarai lagu yang mereka hantar untuk projek lain, kami merasakan ianya sesuai dengan konsep muzik yang Dolla cuba tampilkan.

“Setelah berbincang dengan pihak Dolla sendiri, kami bersepakat untuk menjadikan single kedua Dolla dan dikeluarkan dalam dua versi iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa English.

Kata Anne lagi, ini merupakan pertama kalinya, Universal Music Malaysia mengeluarkan lagu dalam dua Bahasa sebagai strategi mereka membawa Dolla menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, walaupun Dolla masih hijau dalam industri muzik, namun kami percaya akan potensi dan bakat mereka untuk melangkah lebih jauh.

“Kami berharap lagu ini bukan sahaja disambut baik oleh peminat muzik tempatan dan antarabangsa, malah lagu ini mampu menjadi pengubah keadaan dalam meletakkan nama Dolla dan Malaysia di peta muzik global,” jelasnya.

Dia turut menyifatkan kerjasama strategik dengan penggiat seni antarabangsa adalah suatu langkah untuk pemain industri muzik Malaysia mendapat manfaat daripada pemindahan pengetahuan dan kemahiran dalam seni pembikinan muzik popular global.

Sementara itu, lagu terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer termasuk muzik video rasmi. – MalaysiaGazette