Orang awam menonton Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai situasi semasa Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 31 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan akan membentangkan Bajet 2021 di Dewan Rakyat pada 6 November ini dengan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan dalam menghadapi Covid-19 bagi memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam bajet itu, kerajaan akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban yang ditanggung semua pihak dalam menghadapi zaman yang sukar ini.

Justeru beliau berharap, semua ahli Parlimen dapat mengenepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain. Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan ahli-ahli Parlimen untuk membolehkan
Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini,” katanya dalam perutusan khas sempena situasi semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisen dan media sosial hari ini.

Muhyiddin menambah, matlamat kerajaan hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Jelas beliau, dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.

“Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19.

“Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800,00 orang telah kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Belanjawan 2021: Rakyat mahu kerajaan fokus sektor paling kritikal