Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang ditetapkan pada 5  Disember ini dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang mungkin diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang ditetapkan pada 5  Disember ini dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang mungkin diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.

Jelas beliau, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang saya pengerusikan hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan ramai petugas pilihan raya menyatakan rasa bimbang untuk bertugas di PRK Batu Sapi nanti kerana takut terkena jangkitan Covid-19.

“Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia juga melaporkan jika PRN Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang akan keadaan di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap apakah akan mampu menampung peningkatan kes-kes positif Covid-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak selepas pilihan raya.

“Keupayaan frontliners dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses,” katanya dalam perutusan khas situasi semasa Covid-19 yang disiarkan di kaca televisyen di sini hari ini.

Muhyiddin memberitahu, kerajaan perlu mengambil kira kos tambahan yang akan ditanggung dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkitan Covid-19 berlaku dengan mendadak selepas pilihan raya.

Malah jelas beliau, di Sabah sahaja dianggarkan kerajaan terpaksa membelanjakan setengah bilion ringgit jika Perintah Kawalan Pergerakam (PKP) terpaksa dilaksanakan.

“Ini pandangan yang diberikan oleh pihak yang pakar dalam pengurusan pilihanraya dan kesihatan di negara kita. Saya mestilah mendengar pandangan mereka,” katanya.

Muhyiddin menambah, ada pihak mencadangkan kepada kerajaa supaya memperketatkan prosuder standard operasi (SOP) pilihan raya.

“Ya, boleh. Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak. Cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi oleh SPR untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihanraya diadakan.

“Antaranya ialah kekangan untuk menghalang pergerakan pengundi di kawasan merah untuk keluar mengundi kerana mereka ada hak untuk mengundi di sisi Perlembagaan.

“Batu Sapi adalah kawasan merah. Kita minta penduduk Batu Sapi supaya duduk di rumah. Tetapi oleh kerana ada pilihanraya mereka terpaksa keluar beramai-ramai untuk mengundi. Mungkin peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah tetapi itulah demokrasi.

“Begitu juga pergerakan pengundi dari kawasan merah ke kawasan hijau juga tidak dapat dihalang. Cuba saudara dan saudari bayangkan. Kuching sekarang adalah kawasan merah yang mencatatkan lebih 70 kes Covid-19.

“Mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan sekarang, penduduk di Kuching tidak dibenarkan keluar dari daerah Kuching. Dengan itu kita dapat membendung penularan Covid-19 ke daerah-daerah lain yang masih berstatus hijau, iaitu tiada langsung kes Covid-19 dikesan,” katanya.

Muhyiddin turut mengakui jika pilihan raya terpaksa diadakan, kerajaan tidak boleh menghalang penduduk di Kuching yang mengundi di Samarahan, Sri Aman, Miri, Bintulu dan lain-lain daerah untuk keluar mengundi.

Jelas beliau, begitu juga pengundi Sarawak yang tinggal di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan lain-lain negeri yang mencatatkan kes-kes Covid-19 yang tinggi.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak boleh menghalang mereka pulang mengundi kerana itu adalah hak mereka di bawah Perlembagaan.

“Mungkin ada yang kata kenapa kita tidak buat ujian saringan Covid-19 ke atas semua pengundi luar negeri Sarawak yang hendak balik mengundi.

“Isunya, siapa yang akan menanggung kos ujian dan apakah kita mempunyai kapasiti makmal yang mencukupi untuk melakukan ujian ke atas ratusan ribu pengundi dalam masa yang singkat.

“Ujian saringan pun tidak dapat menjamin mereka tidak dijangkiti selepas mengambil ujian,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan turut sedar kerana ramai pesakit Covid-19 tidak mempunyai apa-apa simptom dan tidak dapat dipastikan dengan tepat siapa di antara mereka yang membawa virus itu dan menyebabkan jangkitan dalam komuniti.

“Lebih sukar sekiranya jangkitan berlaku di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan hospital dan fasiliti kesihatan lain yang lengkap.

“Mereka yang dijangkiti mungkin akan meninggal dunia begitu sahaja sebelum bantuan tiba, na’uzubillah,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Umno sudah tarik diri daripada bertanding di PRK Batu Sapi kenapa Bersatu, PBS, PBRS, GPS tak boleh tarik diri untuk memberi kemenangan percuma kepada Warisan. Benda senang kenapa perlu di susah susahkan dan kenapa perlu darurat? Parlimen Sarawak boleh di bubar pada bulan Mac 2021, lepas tu SPR boleh buat PRN Sarawak dalam masa 6 bulan selepas pembubaran, maksudnya September 2021, pada masa itu kemungkinan besar keadaan covid sudah redah. #No Emergency

Comments are closed.