Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang tidak berpuas hati apabila soalannya berkaitan seorang menteri yang hanya dikenakan denda kerana melanggar kuarantin Covid-19 disenaraikan pada nombor 38 dan tidak akan dijawab secara lisan.

Menulis di laman blognya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, dalam soalannya itu beliau telah meminta Perdana Menteri, Tan Sri  Muhyiddin Yassin menjelaskan status terkini siasatan pelanggaran SOP kuarantin oleh Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Namun, katanya, isu yang enggan diulas oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah tu telah diletakkan di bawah berbanding kedudukan sebelum ini apabila sidang Dewan Rakyat untuk sesi Bajet selama 27 hari bermula esok.

Beliau berkata, soalan mengenai penguatkuasaan undang-undang yang dilihat flip-flop itu mempunyai kepentingan nasional dan pastinya akan ada soalan tambahan dari Ahli-Ahli Parlimen yang menunggu untuk membangkitkan isu yang sama.

Katanya, susunan soalan-soalan Parlimen sama ada dijawab secara lisan disusuli dengan soalan tambahan atau dijawab kemudian dalam bentuk jawapan bertulis tidak boleh dibuat sesuka hati sebaliknya mesti bergantung kepada kepentingan awam.

Kit Siang percaya Kabinet Muhyiddin tidak mahu isu penguatkuasaan berpilih dibangkitkan dalam sesi Parlimen esok dan menyifatkan tindakan seumpama itu sebagai campur tangan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Katanya, mesti ada garis panduan yang jelas dan teratur mengenai penyenaraian soalan-soalan Parlimen dan perkembangan terkini berkaitan dengan soalan menteri langgar kuarantin menunjukkan pembaharuan perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan tersebut.

Kit Siang turut menarik perhatian mengenai video program bual bicara pada 2015 di mana Datuk Azhar Azizan Harun yang kini merupakan Speaker Dewan Rakyat berkata, usul tidak percaya mesti diletakkan dalam senarai utama Aturan Mesyuarat.

“Tetapi ini tidak digambarkan dalam Peraturan Mesyuarat bagi sidang Parlimen esok,” katanya.

Katanya, terdapat dua usul percaya terhadap Perdana Menteri dan 25 usul tidak percaya telah difailkan namun tidak ada satu daripada usul tersebut yang diletak dalam perkara pertama urusan Parlimen dan perkara itu mesti dijelaskan oleh Azhar. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Satu ketika dulu ramai juga yang tak puas hati bila anak Lim Kit Siong dilepaskan dari ” TEROWONG”

  2. tak habis2 ke kes khairuddin ni. tak cukup ke kompoun seribu gaji 4 bulan dia tolak untok basmi covid. tak ada pun orang kena covid berpunca darinya. cukup3 lah ikut dengki tu dendam akan makan diri sendiri

Comments are closed.