Surat pemberhentian pekerja yang dikeluarkan oleh Malindo.

KUALA LUMPUR – Pekerja di syarikat Malindo Air diminta membuat aduan mengenai pembuangan pekerjaan mereka dalam tempoh 60 hari.

Ia susulan aduan pampasan dan terma pembuangan pekerjaan yang sungguh tidak munasabah kepada pekerja-pekerja terlibat.

Timbalan Setiausaha Agung, Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM), Shashi Kumar berkata, kebanyakan aduan mendakwa kru kabin hanya menerima RM4,000 lebih saja.

Shashi Kumar

”Adakah ini pampasan yang berpatutan dan bersifat peri kemanusiaan?

”Ramai pekerja ini juga adalah golongan B40 yang masih mempunyai kontrak yang akan berakhir pada tahun 2024. Jadi mana keadilan ini semua?,” soalnya yang memaklumkan Malindo mengunakan kaedah LIFO (Last In First Out) bagi pembuangan pekerja mereka.

Difahamkan Malindo telah memberhentikan 2,000 orang kakitangan 30 Oktober lalu.

Yang terjejas adalah golongan muda yang hanya bekerja dengan syarikat kurang dariĀ  tahun dan dakwanya kebanyakan mereka ini tidak tahu hak mereka dan faktor itu dijadikan sebab mereka diberhentikan.

”Apa yang kami dimaklumkan ramai antara pekerja ini tidak menerima gaji sejak beberapa bulan yang lalu tapi tiba-tiba dibuang kerja.

”Hutang gaji pekerja belum dibayar, tapi syarikat buang pekerja sebelum melangsaikan tunggak gaji,” tambahnya yang mengakui ramai kakitangan syarikat itu tidak puas hati cara diberhentikan.

Shashi mengesahkan NUFAM telah membuat aduan kepada agensi buruh Kementerian Sumber Manusia mengenai masalah dan aduan ini tapi isu ini masih berlaku dan nampak tiada tindakan selanjutnya diambil.

NUFAM dimaklum pihak Malindo Air juga telah menerima peruntukan RM3 juta untuk membayar pekerja yang telah dicutikan tapi malangnya, ramai antara pekerja ini tidak dibayar peruntukan bulanan tersebut.

Jika benar ini berlaku, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) harus membuat siasatan.

Ada pihak pekerja mengadu kepada Perkeso mengenai isu bayaran skim Program Subsidi Upah (PSU) tetapi mereka tidak mendapat maklum balas atau jawapan daripada pihak syarikat.

”Yang kami terkilan adalah kerajaan sudah pun memaklumkan dalam keadaan Covid-19, mana mana syarikat tidak boleh menghentikan pekerjaan tapi lihatlah sendiri hari ini.

Apa guna kerajaan bagi peruntukan berbilion ringgit kepada syarikat ini semua tapi mereka masih buang pekerja mereka. Ia menampakkan betapa lemah pemantauan ke atas apa yang dinyatakan oleh kerajaan hari ini. Ia seolah olah syarikat ini menerima dana tapi tetap menganiaya pekerja mereka,” tambahnya.

Oleh itu, NUFAM menyarankan satu siasatan dijalankan jika benarnya ada pelanggaran dalam hal pembuangan pekerja di syarikat Malindo Air.

Malah, kesatuan ini mengesa mana-mana pekerja yang telah teraniaya membuat laporan segera agar tindakan yang sewajarnya boleh diambil. – MalaysiaGazette