Asrullah Affendi Abdullah

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Felda (MBF) Wilayah Kuantan mendesak badan pelajar berdaftar Universiti Malaya, Persatuan Pemuda Baharu Universiti (UMANY) tampil bersemuka dan membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di atas kenyataan biadab mereka baru-baru ini.

Sebagai badan anak muda universiti yang telah mendapat didikan baik di bawah sistem pembelajaran di negara ini, UMANY sepatutnya lebih bijak dan faham perkara yang mereka perlu suarakan mengikut pandangan anak muda di peringkat universiti.

Ketua Penerangannya, Asrullah Affendi Abdullah berkata, jika UMANY merasakan YDPA tidak perlu campur tangan secara terus berkaitan pentadbiran negara, mereka boleh kemukakan permohonan untuk bertemu baginda serta nyatakan hasrat dan pandangan.

“Tidak perlu menggunakan media sosial untuk tidak menghormati individu yang paling dihormati, disanjungi di negara ini serta bersembunyi seperti pengecut setelah mengeluarkan kenyataan.

“Saya mewakili seluruh ahli MBF Wilayah Kuantan mendesak pihak pentadbiran UM menyiasat perkara ini dan mengambil tidak tegas terhadap setiap individu yang terlibat dalam penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

UMANY dalam akaun Facebooknya dua hari lalu dilaporkan berkata, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Maka, di bawah sistem itu, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut persatuan itu, Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan (YDPA) harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

“Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik atau bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang,” kata UMANY.

Persatuan itu menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara, tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun hantaran di laman Facebook itu telah dipadamkan.

Mengulas lanjut, Asrullah Affendi berkata, MBF Wilayah Kuantan merasakan isu itu berkait rapat dengan masa depan UM dan pastinya menjejaskan imej universiti itu sebagai institusi pengajian tinggi paling berpengaruh dan dihormati di negara ini.

Beliau turut menasihatkan anak muda Felda yang menganggotai UMANY lebih bersikap rasional dan fahami tujuan mereka berada di universiti serta bertindak bijak memilih perkara yang sepatutnya diperjuangkan agar dapat berbakti kembali kepada tanah rancangan Felda kelak.

“Tidak salah untuk kita bersuara, tetapi biarlah ianya berpadanan dengan perkara yang hendak kita suarakan.

“Semua rakyat di negara ini telah sedia maklum Yang di-Pertuan Agong sentiasa berada bersama pelajar universiti kerana mereka adalah aset dan masa hadapan negara.

“Jika perkara begini boleh timbul dalam sistem pembelajaran universiti, sudah pasti ianya perlu dilihat dengan lebih serius dan perlunya pemantauan lebih kemas dari pihak pentadbiran universiti,” katanya.

Beliau berkata, MBF Wilayah Kuantan tetap setia menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong dan sentiasa bersama mempertahankan sistem diraja negara ini agar sentiasa terpelihara dengan semangat dan kesetiaan di bawah naungan Raja Berdaulat. – MalaysiaGazette