Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Dr. Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), hari ini.

Dalam kenyataannya kepada media, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau berbuat demikian kerana hendak menumpukan sepenuhnya membantu rakyat di kawasannya dan Malaysia khususnya yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, sebelum ini pelbagai persoalan timbul setelah keluar kenyataan media dari parti Pejuang tanpa menyebut namanya.

“Justeru, saya membuat kenyataan media hari ini untuk menjelaskan keadaan terkini saya dan parti Pejuang.

“Saya, Dr. Maszlee bin Malik, Ahli Parlimen Simpang Renggam dengan ini mengumumkan penarikan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang,” katanya.

Menurutnya, beliau juga akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasitinya sebagai Ahli Parlimen bebas dan ruang aktivisme serta kerja kemanusiaan menerusi rangkaian NGO dan rakan aktivis lain.

Beliau percaya, perubahan itu tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan serta kesempatan.

Tegasnya, rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis hari ini.

“Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sekarang,” ujarnya.

Dr. Maszlee kemudian mengajak semua pihak berdoa agar pandemik Covid-19 segera reda dan menghilang serta kehidupan rakyat kembali normal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.